PESAWAH diiringi anggota polis dibawa ke mahkamah untuk didakwa  atas 10 pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii. FOTO Danial Saad
PESAWAH diiringi anggota polis dibawa ke mahkamah untuk didakwa atas 10 pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Pesawah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 10 pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang remaja perempuan bawah umur, bulan ini.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 28 tahun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii dan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik tidur di sebuah rumah di sebuah kampung di Kepala Batas antara jam 1 hingga 1.30 pagi dari 3 hingga 12 Mei lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merogol dan kesalahan persetubuhan luar tabii pula di bawah Seksyen 377(c) Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Wan Amira tidak membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan mangsa adalah anak jiran yang dikhuatiri akan mengganggu mangsa.

Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes akan disebut semula pada 27 Jun depan untuk laporan perubatan dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 1:17 PM