NOTIS 'minyak masak peket tidak dijual kepada pengusaha kedai makan' sebagai cara mengawal penjualan minyak masak paket ditampal oleh pengusaha sebuah pasaraya di pekan Kuah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
NOTIS 'minyak masak peket tidak dijual kepada pengusaha kedai makan' sebagai cara mengawal penjualan minyak masak paket ditampal oleh pengusaha sebuah pasaraya di pekan Kuah, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman

Langkawi: Pengusaha pasar raya dan kedai runcit di pulau ini mengambil inisiatif mengehadkan jualan minyak masak paket satu kilogram bagi mengelak stok barangan keperluan itu terputus.

Tinjauan mendapati rata-rata peniaga hanya menjual satu paket minyak masak bagi setiap pembeli selain tidak menjualnya kepada pengusaha kedai makan.

Seorang pekerja pasar raya yang mahu dikenali sebagai Imah, berkata pihaknya meletakkan notis tidak menjual minyak masak paket kepada pengusaha kedai makan lebih seminggu lalu.

"Kekurangan bekalan minyak masak paket sudah berlarutan sejak sambutan Aidiladha lalu sehingga sekarang, jadi kami terpaksa mengehadkan jualan.

"Kalau untuk peniaga kedai makan, kami minta mereka beli minyak masak botol, minyak masak paket hanya untuk isi rumah," katanya ketika ditemui di sini.

Peniaga kedai, Hidayah Mahmud, 25, turut mengakui dia mengehadkan jualan minyak masak paket susulan bekalan sukar diperoleh sejak beberapa bulan lalu.

"Saya tidak jual minyak masak botol kerana harganya mahal, lagipun ia kurang mendapat permintaan selain perlu membeli dengan modal yang tinggi.

"Permintaan untuk minyak masak paket daripada pengguna amat tinggi, tapi kami peniaga tak dapat buat apa-apa kerana tiada bekalan," katanya.

Sementara itu, sumber pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Langkawi memaklumkan bekalan minyak masak paket di pulau ini terganggu setiap akhir bulan kerana masalah kuota.

"Stok (Langkawi) ada tetapi berkurangan, cuma akhir bulan lalu bekalannya merosot agak banyak disebabkan isu kuota, tetapi sudah diselesaikan.

"Kita menggalakkan peniaga mengadakan kawalan kendiri terhadap penjualan minyak masak paket bagi mengelak pihak tertentu mengambil kesempatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 11:52 AM