Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Peniaga kedai runcit di sini, mendakwa pemborong meletakkan syarat supaya membeli gula terlebih dahulu bagi mendapatkan bekalan minyak masak peket satu kilogram (kg).

Pemborong juga menetapkan jumlah minyak masak bersubsidi yang diperolehi itu bergantung kepada jumlah pembelian gula.

Disebabkan itu, peniaga memaklumkan bekalan minyak masak peket itu mengalami gangguan dan terpaksa mengehadkan jualan memandangkan stok yang terhad.

Tinjauan di beberapa kedai runcit mendapati rak yang sepatutnya menempatkan minyak masak itu kosong dan peniaga turut mempamerkan notis memaklumkan minyak masak itu habis.

Peniaga runcit, Siti Mahayon Mokhtar, 50, mendakwa bekalan minyak masak paket mengalami masalah kekurangan bekalan sejak tahun lalu dan lebih meruncing sejak Ramadan.

"Disebabkan bekalan minyak masak paket yang diperoleh hanya sedikit, saya hanya menjualnya kepada pelanggan tetap dengan mengehadkan hanya satu atau dua peket minyak kepada setiap pembeli dan ia bergantung kepada bekalan minyak yang diperoleh," katanya ketika ditemui di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Peniaga runcit, Siti Mahayon Mokhtar, 50, menunjukkan bekalan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram mengalami gangguan bekalan sejak tahun lalu lagi  ketika ditemui di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Peniaga runcit, Siti Mahayon Mokhtar, 50, menunjukkan bekalan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram mengalami gangguan bekalan sejak tahun lalu lagi ketika ditemui di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Seorang lagi peniaga, Siti Hajar Sidek, 43, berkata dia turut bingung dengan ketiadaan stok bahan mentah itu dan bekalan yang dihantar oleh pembekal juga tidak banyak berbanding sebelum ini.

"Jika mendapat bekalan minyak masak peket yang dihantar oleh pembekal saya akan mengehadkan hanya dua peket minyak kepada setiap pembeli dan ia akan habis dijual dalam tempoh yang singkat.

"Ada ketikanya saya terpaksa mencatu jualan dan kadang-kadang ramai peniaga makanan yang tidak berpuas hati kerana mereka sangat perlukan minyak masak paket ini untuk perniagaan mereka.

"Pada masa sama, apabila stok minyak masak peket sering terputus bekalan selain tidak konsisten ia memberi kesan golongan B40 dan tidak terkecuali juga kepada peniaga terutama yang berniaga di bazar Ramadan yang memerlukan bahan mentah ini," katanya.

Peniaga, Mohd Jusoh Yahya, 56, berkata, kebanyakan pelanggan yang ke kedainya untuk mendapatkan minyak masak peket merungut dan dia juga kebingungan dengan ketiadaan stok bahan mentah itu sejak lebih sebulan lalu.

"Besar kemungkinan kehabisan stok minyak masak peket adalah disebabkan permintaan yang tinggi dan bekalan yang tidak banyak, manakala minyak botol yang dijual pula kurang mendapat sambutan berikutan harganya yang mahal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 4:19 PM