Muntazar bersama tunangnya
Muntazar bersama tunangnya
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Jarak usia tujuh tahun bukan halangan untuk pelakon Muntazar Ghufran, 21, menyulam cinta dengan Saidah Kamarudin, 28, hingga nekad mengambil keputusan bertunang pada 25 Mei lalu.

Muntazar berkata, perkenalan selama setahun dengan wanita itu cukup memberi keyakinan kepada dirinya untuk melangkah ke fasa seterusnya sekali gus memperisterikan Saidah yang dijangka berlangsung tahun depan.

"Kami mula berkenalan sekitar Januari tahun lalu. Walaupun saya baru berusia 21 tahun dan perbezaan usia kami agak jauh tapi ia tidak menentukan kebahagiaan dalam sebuah perhubungan.

"Bagi saya, umur hanyalah angka tetapi apa yang membuatkan saya begitu tertarik untuk mengenalinya adalah sifat kematangan serta mudah untuk berhubung dan berkomunikasi.

"Insya-Allah saya merancang untuk berkahwin tahun depan kerana sejak di bangku sekolah menengah lagi saya memang berhajat untuk berkahwin pada tahun 2025," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Muntazar, biarpun tidak terlepas menerima pelbagai komen negatif di media sosial apabila bercinta dengan wanita yang lebih berusia, namun Muntazar berjaya membuktikan hubungan mereka serius dan bukan main-main.

"Ada komen yang mengatakan saya masih terlalu muda untuk bertunang dan kami tidak sesuai, tapi saya nekad dengan keputusan ini.

"Kalau boleh saya tidak mahu terlalu lama bercinta dan saya nak laksanakan tanggungjawab sebagai lelaki dengan membina masjid.

"Saya bersyukur mendapat sokongan penuh dan restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak. Walaupun pada mulanya mereka terkejut dengan keputusan ini, tapi mereka gembira apabila saya nak menghalalkan isteri saya secepat mungkin.

"Mak saya pula dia sangat kenal saya sebagai anak yang berdikari dan tahu apa yang saya inginkan dalam hidup. Jadi dia beri lampu hijau dan tumpang gembira," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 1:24 PM