Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Taktik seorang lelaki menyeludup keluar lebih empat kilogram (kg) syabu yang disembunyikan dalam bungkusan serbuk pencuci gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila dia ditahan di Jeti Awam Lama, Jalan Pelabuhan, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek warga Indonesia berusia 25 tahun dikesan dalam keadaan mencurigakan sambil membawa empat guni ketika cuba menaiki bot di jeti berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Menurutnya, pemeriksaan awal terhadap empat guni yang dibawa suspek menemui empat bungkus serbuk pencuci yang diletakkan di dalam tong plastik.

"Hasil pemeriksaan rapi, polis menjumpai enam peket plastik yang mengandungi bahan disyaki syabu seberat 4.572 kg dianggarkan bernilai RM274,320 diletakkan di dalam bungkusan sabun terbabit.

"Cubaan ini adalah antara modus operandi terbaru yang digunakan oleh sindiket penyeludupan dadah selepas beberapa siri percubaan dan pelbagai helah berbeza termasuk menggunakan tong drum, bungkusan teh Cina, bungkusan durian dan tin minuman berjaya ditumpaskan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sini, hari ini.

Jasmin Hussin, menunjukkan dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam bungkusan serbuk pencuci (sabun). FOTO  Abdul Rahemang Taiming
Jasmin Hussin, menunjukkan dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam bungkusan serbuk pencuci (sabun). FOTO Abdul Rahemang Taiming

Jasmin berkata, suspek yang juga seorang buruh ladang di daerah Kinabatangan dipercayai membawa dadah berkenaan menggunakan jalan darat sebelum menaiki bot untuk diseludup keluar ke negara jiran.

Katanya, hasil semakan dan saringan ujian air kencing mendapati dia negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah selain tidak memiliki rekod jenayah lampau.

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 4 Jun depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, polis akan meningkatkan tahap pemeriksaan ke atas setiap bagasi dan barang yang dibawa penumpang semasa melalui Jeti Awam selain menggunakan khidmat anjing pengesan.

Menurutnya, walaupun Jeti Awam adalah kemudahan untuk penduduk di Pulau Sebatik, Bergosong dan Wallacebay berulang-alik ke Pusat Bandar Tawau namun ada yang mengambil kesempatan dan menyalahgunakan kemudahan itu.

Justeru beliau menggesa orang ramai supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan termasuk berkaitan dengan aktiviti penyeludupan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 1:11 PM