DECLAN Lambert. FOTO BERNAMA
DECLAN Lambert. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Kehilangan beberapa tonggak utama skuad Harimau Malaya tidak harus diratapi sebaliknya ia bakal menjadi azimat untuk bangkit mengejutkan Kyrgyzstan.

Perkara itu diluahkan tonggak pertahanan kacukan negara, Declan Lambert yang akui ketiadaan pemain utama akan meletakkan Malaysia sebagai pasukan bukan pilihan dan ia memberi kelebihan buat barisan negara yang bakal turun tanpa tekanan.

"Beraksi sebagai pasukan bukan pilihan kadang kala bagus. Mungkin lawan melihat kita memiliki kecederaan dan memandang mudah aksi ini tetapi kita masih memiliki pemain berkualiti dalam skuad," kata pemain berdarah England-Malaysia itu.

Skuad negara kehilangan hampir suku kekuatan terutamanya di jentera hadapan apabila lima tonggak terpaksa disisihkan ekoran kecederaan.

Antaranya Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Romel Morales, Darren Lok dan Syafiq Ahmad sekaligus membuka peluang buat pemain seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan lain-lain kembali merampas posisi itu sebagai tonggak utama.

Malah beberapa pemain muda dari skuad bawah 23 tahun negara dan muka baharu juga diberi peluang antaranya Haqimi Azim, Safwan Mazlan, Engku Muhammad Nur Shakir, Adib Raop serta dua pemain dari senarai menunggu iaitu Zhafri Yahya dan Nur Shamie Iszuan Amin.

Kata pasangan kembar tak seiras kepada Ryan Lambert itu lagi, terdapat persaingan sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama susulan terdapat beberapa pemain senior dalam pasukan.

"Saya tahu persaingan sengit untuk mendapat tempat. Pemain-pemain lain sangat bagus dan memberi persaingan sengit. Saya sentiasa bersaing untuk mendapatkan tempat.

"Harapnya saya dapat memperagakan aksi terbaik untuk beraksi dalam kesebelasan utama," kata pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang terus dipinjamkan ke Kuala Lumpur City FC itu.

Ketika ini skuad negara sedang bersiap sedia untuk menghadapi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di Bishkek dan Taiwan di Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 1:20 PM