Antara babak menarik Rosyam sebagai Cikgu Sunan dalam filem Memoir Seorang Guru
Antara babak menarik Rosyam sebagai Cikgu Sunan dalam filem Memoir Seorang Guru
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Lebih dua dekad berkecimpung dalam bidang seni, pelakon berkaliber Datuk Rosyam Nor berpendapat tidak penting kisah peribadinya dikongsikan kepada umum.

Tidak pernah merahsiakan statusnya sebagai suami orang, Rosyam bagaimanapun memilih untuk tidak menghebahkan identiti isterinya di media sosial.

"Bagi saya tak penting orang ramai atau peminat untuk tahu siapa isteri Rosyam Nor. Tapi bila ada dunia internet sekarang ni, adalah gambar saya dan isteri saya orang tengok.

"Kalau dulu masa zaman surat khabar tu, orang tak dapat tengok anak saya siapa semua. Sekarang ni anak saya pun dah ada sosial media, jadi orang dapat 'stalk' atau dapat cari.

"Sebab bagi saya, Rosyam Nor bukan kepunyaan keluarga saya saja. Rosyam Nor adalah kepunyaan peminat-peminat saya. Bagi saya, biarlah mereka melihat saya seadanya untuk mereka meminati saya.

"Begitulah yang saya nakkan kepada penonton bahawa saya juga hak mereka. Jadi tak perlulah orang rumah saya sibuk-sibuk dengan kerjaya saya," katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Rosyam mengakui keterujaan membawakan watak Cikgu Sunan dalam filem Memoir Seorang Guru yang menampilkan dirinya selaku teraju utama.

Belum pernah diamanahkan berlakon watak tenaga pendidik, Rosyam mengakui sudah memberikan yang terbaik untuk naskhah itu.

Memoir Seorang Guru adalah adaptasi daripada novel hasil karya penulis popular, Allahyarham Azizi Abdullan yang juga bekas guru dan penerima Anugerah Penulis S.E.A 1998 mewakili Malaysia.

Filem arahan Kyoll Hamzah mengisahkan seorang guru bandar bernama Cikgu Sunan yang ditukarkan ke sebuah sekolah pedalaman dan ditugaskan menjadi guru di kelas paling corot.

Selain Rosyam, filem yang ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula esok ini turut dibintangi barisan pelakon popular termasuk Nabila Huda, Johan As'ari, Zul Huzaimi, Hariz Hamdan dan Trisha Ooi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 12:57 PM