Datuk Suhaimi Sulaiman. FOTO Aziah Azmee
Datuk Suhaimi Sulaiman. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam: Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman menyeru agar artis-artis bermasalah untuk mendapatkan khidmat profesional bagi memudahkan proses pemulihan.

Suhaimi, ketika ditemui berkata, pihaknya masih lagi berpegang dengan pendirian untuk menangguhkan tayangan drama yang membabitkan artis bermasalah di platform RTM.

"Kita tangguhkan sehingga pelakon-pelakon yang mengambil bahagian dalam semua program di RTM layak diketengahkan dan menjadi contoh yang baik kepada penonton kerana mereka adalah idola kepada penonton.

"Jadi, kalau mereka tidak menunjukkan peranan yang bagus, kenapa kita nak ketengahkan mereka? Jika mereka ada masalah, saya boleh bercakap dengan penerbit untuk membantu mereka.

"Kadang-kadang kita suka menghukum sahaja, tetapi tidak mahu mengambil tindakan. Bahkan, saya dah berbincang dengan pengarah dan juga penerbit drama contohnya, yang berkaitan kes Aliff Aziz. Dia kata, okay, kita nak pastikan Aliff Aziz pergi jumpa pakar psikiatri.

"Pergi jumpa pakar sakit jiwa atau apa supaya dapat membantu pemulihannya. Kerana kadang-kadang, kita tinggalkan orang (bermasalah) begitu sahaja. Jadi, itu tidak adil," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Suhaimi, pihaknya tidak menetapkan tempoh penangguhan itu, sebaliknya memberi peluang kepada artis untuk berubah dan kemudian, barulah terbuka untuk bekerjasama semula.

"(Sampai bila) Sehingga kita ada cukup bukti bahawa ada perubahan dalam diri seseorang. Kita tidak boleh menyalahkan mereka selama-lamanya. Seseorang itu perlu diberi peluang untuk menambah baik diri mereka.

"Jadi, jika kita ada bukti bahawa mereka sudah berusaha untuk memperbaiki diri, kita harus tayangkan drama mereka. Yang paling penting adalah, jika kita memerlukan pertolongan, kita harus mencari bantuan yang profesional.

"Formula yang saya gunakan di RTM, mudah sahaja. Jika kita mahu tampil di TV, kenalah berkelakuan baik. Semudah itu. Sebab nanti orang akan bertanya kepada kita, kenapa RTM menyokong orang-orang yang berkelakuan tidak baik sebagai contoh untuk orang lain.

"Bukan sahaja Alif Aziz, sesiapa pun yang ingin berlakon dalam drama atau menyanyi untuk RTM, mereka perlu berkelakuan baik. Mudah sahaja," katanya. Pendirian itu juga sudah termaktub di dalam kontrak antara pihak RTM dan juga penerbit sebelum kerjasama dijalinkan."Sebenarnya, apabila kita bekerjasama dengan penerbit, perkara ini termasuk dalam perjanjian kita. Dalam perjanjian itu, kita sudah menetapkan bahawa tidak boleh ada masalah disiplin dalam pemilihan pelakon, dan pelakon juga harus tidak mempunyai masalah. Ini ada dalam kontrak. "Jadi, kita berpegang pada kontrak, tetapi saya rasa ia juga mengenai kesedaran kita. Kita kena jaga supaya tidak ada orang marah. "Saya rasa sudah tiba masanya untuk anda berdisiplin jika orang marah kepada anda (artis). Nanti bila anda lakukan, anda ini ikon, dan seolah-olah anda bangga. Macam anda buat skandal, anda bangga. "Jika mahu perhatian atau tular, ada banyak lagi cara untuk menjadi tular. Tidak perlu dengan cara yang begini. Kerana ia tidak baik. Tidak berguna begitu. Masa zaman saya dulu tidak ada benda-benda macam ini. Jadi, jika anda memerlukan bantuan profesional, carilah," katanya.Suhaimi ditemui di Majlis Pelancaran Salam Baitullah Musim ke-16 yang akan ditayangkan selama 16 hari bermula 2 Jun hingga 17 Jun 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 1:06 PM