IKAN bandaraya kini mendominasi sungai di negeri Perak. FOTO Arkib NSTP
IKAN bandaraya kini mendominasi sungai di negeri Perak. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Ipoh: Jabatan Perikanan Negeri Perak memandang serius ancaman ikan asing yang mengganggu habitat spesies ikan asli di perairan umum seperti sungai dan tasik di negeri ini.

Pengarahnya Mohd Ghazali A Manap berkata usaha bagi menyekat dan mengurangkan kehadiran ikan asing khususnya baung ekor merah dan ikan tombot atau bandaraya sentiasa menjadi keutamaan jabatan itu.

Beliau berkata populasi baung ekor merah membiak dengan sangat pantas dan menjadi ikan pemangsa yang mengganggu keseluruhan rantaian makanan, selain bersaing untuk ruang serta makanan dengan ikan spesies asli.

"Baung ekor merah atau nama saintifiknya Hemibagrus wyckioides dikesan memasuki perairan umum sejak Mac 2021 dan mengikut rekod pada tahun lepas, sebanyak 12.29 tan ikan itu berjaya didaratkan oleh nelayan darat.

"Pada tahun ini setakat April lepas, lebih 2.01 tan spesies ikan terbabit telah berjaya direkodkan selain inventori juga menjumpai baung ekor merah ini telah sampai ke perairan Sungai Perak di Perak Tengah dan daerah berdekatan," katanya.

Pada 29 Mac 2021, dianggarkan lebih 250 sangkar sebuah syarikat penternakan ikan di Teluk Intan pecah akibat arus deras Sungai Perak, sekali gus menyebabkan beratus ribu ikan pelbagai jenis seperti tilapia merah, patin, baung dan jelawat putih serta 30 tan metrik ikan baung ekor merah terlepas ke perairan umum.

Mohd Ghazali berkata setakat ini tiada lagi pengusaha ternakan baung ekor merah direkodkan jabatan itu di seluruh Perak sama ada secara haram mahupun yang memohon kebenaran menternak ikan berkenaan.

"Kita secara berterusan menggalakkan nelayan darat menangkap dan menjual sekiranya mendapati ikan berkenaan terperangkap pada pukat dan joran mereka termasuk penganjuran program memancing bagi menangkap ikan terbabit, malah tidak melepaskan semula ke perairan sekiranya tertangkap.

"Jabatan Perikanan juga sentiasa memberikan peringatan melalui saluran media utama untuk menyedarkan orang awam berkaitan kepentingan menjadi mata dan telinga pihak berwajib untuk memaklumkan segera mana-mana aktiviti yang disyaki membuang ikan bukan asli ke perairan sungai di negeri ini," katanya.

Menurut Mohd Ghazali, pihaknya juga memandang serius kebanjiran ikan bandaraya yang kini mendominasi sungai di negeri ini namun setakat ini masih terkawal dan belum merosakkan ekosistem sungai tempatan.

"Namun demikian, langkah berjaga-jaga dan pemantauan rapi dilaksanakan melalui program inventori untuk ikan berkenaan dikeluarkan secara tuntas daripada perairan negeri.

"Tabiat ikan ini yang membina sarang dengan cara mengorek tebing sungai akan menggalakkan berlakunya kejadian hakisan dan meningkatkan kadar kelodak di dalam air sungai," katanya sambil menambah orang ramai diseru bersama-sama menjaga perairan sungai negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 12:49 PM