MAYAT diletakkan di dalam tangki khas yang bertindak seperti pod penyimpanan vakum. FOTO Agensi
MAYAT diletakkan di dalam tangki khas yang bertindak seperti pod penyimpanan vakum. FOTO Agensi
Agensi

Sydney: Seorang lelaki Sydney menjadi warga Australia pertama yang dibekukan secara kriogenik selepas kematian dengan harapan untuk 'dihidupkan semula', lapor News.com.au.

Pemilik Southern Cryonics, Phillip Rhoades mengumumkan kakitangannya berjaya membekukan pelanggan pertama mereka dengan harapan dia dapat 'dihidupkan semula' pada masa hadapan.

Lelaki Sydney itu, yang meninggal dunia awal bulan ini pada usia 80-an, menjadi apa yang syarikat itu gelarkan sebagai 'Pesakit Satu'.

Proses membekukan si mati di kemudahan syarikat itu di Holbook, New South Wales, disifatkan kompleks dan menyebabkan Rhoades tidak dapat tidur dengan lena.

"Ia sangat tertekan. Itulah yang membuatkan saya terjaga selama seminggu kerana terdapat beberapa prosedur berbeza yang perlu dilalui untuk hari yang berbeza, dan terdapat beberapa situasi yang mungkin menjadi salah jika kita tidak bersedia dengan betul.

"Terdapat beberapa orang lain yang juga ahli sedia ada yang kami fikir mungkin calon untuk menjadi yang pertama tetapi, ternyata, dia adalah seseorang yang bukan ahli sedia ada.

"Keluarganya tiba-tiba menelefon dan kami mempunyai kira-kira seminggu untuk bersiap dan mengatur (untuk proses berkenaan)," kata Rhoades.

Selepas lelaki itu meninggal dunia di hospital Sydney pada 12 Mei lalu, proses pembekuan yang menelan kos sekitar AS$170,000 (kira-kira RM798,000) bermula serta-merta.

Rhoades berkata, dia dengan cepat menaiki kereta api ke hospital, berhenti untuk mengumpul beg ais dari sebuah kedai di sepanjang jalan.

Selepas sijil kematian pelanggan dikeluarkan, mayat lelaki terbabit pantas dipindahkan ke bilik sejuk hospital sebelum dibawa ke rumah mayat.

Pakar kemudian mengepam cecair melalui badan lelaki itu untuk memelihara selnya dan membungkus badan individu itu dalam ais kering dan menurunkan suhunya sehingga negatif 80 darjah Celsius.

Hari berikutnya, mayat dibawa ke kemudahan milik Southern Cryonics di mana suhu diturunkan kepada negatif 200 darjah Celsius, sebelum mayat diletakkan di dalam tangki khas yang bertindak seperti pod penyimpanan vakum.

Proses intensif selama 10 jam adalah dengan harapan lelaki itu akan 'dihidupkan kembali' bertahun-tahun atau bahkan berabad-abad akan datang.

Proses itu menelan belanja pelanggan AS$170,000 (kira-kira RM798,000) dengan bayaran tambahan untuk pasukan perubatan untuk membantu proses pemeliharaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 1:21 PM