Wan Rosdy Wan Ismail ketika ditemui media di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Wan Rosdy Wan Ismail ketika ditemui media di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Barisan Nasional (BN) Pahang tidak mengambil mudah terhadap tentangan bakal dihadapi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai di Bentong pada 7 Oktober depan.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, walaupun kerusi Dun Pelangai adalah kubu BN, komponen parti itu akan bekerja keras untuk memastikan ia dapat dipertahankan.

"Dalam keadaan macam mana pun, kita akan bekerja kuat untuk pertahankan kerusi Dun Pelangai dan tidak mengambil mudah.

"Setakat ini, ada enam calon yang berbakat dan berpotensi boleh menang. Saya sudah mengambil 'resume' dan sedang meneliti dan mengkaji semua calon.

"Selepas itu, saya akan berbincang dengan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid untuk mendapatkan persetujuan dan watikah.

"Kita akan mengumumkan calon dua atau tidak hari sebelum hari penamaan calon dan bukannya 17 September seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian selepas melancarkan buku Budi Pujangga dan Kelab Pendidikan Muzium Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist, di sini, hari ini.

Ditanya kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH), Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang itu berkata, kerjasama terbabit sudah lama termasuk ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Dun Tioman.

PRK Dun Pelangai ditetapkan pada 7 Oktober depan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.

Johari adalah antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada PRU-15, Johari berjaya memenangi kerusi Dun Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.

Beliau memperoleh 7,308 undi berbanding 3,260 undi diterima lawannya itu, manakala dua lagi calon iaitu Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 1:31 PM