AHMAD Zahid ketika meninjau pusat penamaan calon bagi PRK DUN Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul hari ini. FOTO Bernama
AHMAD Zahid ketika meninjau pusat penamaan calon bagi PRK DUN Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Bentong: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mengiringi calon parti itu bagi PRK Pelangai Datuk Amizar Abu Adam ke pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini, hari ini.

Menyifatkan BN tidak mengambil mudah atau terlebih yakin untuk mempertahankan kerusi yang menjadi kubu kuat BN itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, jentera kempen perlu bekerja keras dan menggunakan langkah luar biasa untuk menarik sokongan pengundi.

"Walaupun atas kertas, kita ada majoriti lebih 4,000 undi melalui Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dan 2,000 lebih daripada calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lepas, namun kita tidak boleh ambil mudah dan terlebih yakin.

"Lawan dah bermukim di sini dan menggunakan pendekatan ceramah tidak besar (berkelompok), jadi kita kena guna langkah luar biasa, sesuai dengan kehendak dan cita rasa pengundi DUN ini dan kita perlu mendekati semua pengundi secara bersemuka," katanya kepada pemberita di sini.

Pada PRU-15, Johari yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi selepas memperoleh 7,308 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat (3,260), Ahmed Wafiuddin daripada Pakatan Harapan (2,031) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih atas sokongan rakan-rakan parti lain di dalam Kerajaan Perpaduan kepada calon BN di Pelangai.

Beliau pada masa sama menzahirkan keyakinan kepada Amizar untuk meneruskan legasi BN di DUN Pelangai.

"Calon kita terkenal dalam kalangan orang Pelangai, beliau pun anak Felda (Felda Chemomoi) dan saya yakin beliau akan meneruskan khidmat Johari di sini," katanya.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, Kasim (PN) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

PRK itu diadakan ekoran kematian Johari, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 7 Oktober ini manakala 3 Oktober sebagai tarikh pengundian awal.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, keahlian Haslihelmy sebagai ahli Pemuda Umno Bahagian Bentong gugur secara automatik selepas beliau bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Pelangai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 12:11 PM