TN Alagesh


Bentong: Umno bahagian Bentong hari ini menyerahkan lima nama kepada pucuk pimpinan negeri sebagai calon berpotensi untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai 7 Oktober depan.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Bentong Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata nama-nama itu dicadangkan susulan mesyuarat jawatankuasa khas yang diadakan di Bentong semalam.

"Lima nama disenarai pendek sebagai calon berpotensi untuk kerusi itu dan hari ini, Setiausaha Umno Bahagian Bentong menyerahkan senarai itu kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melalui setiausaha politiknya.

"Sekarang kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat pilihan calon yang sesuai. Mereka yang dicadangkan adalah dari dalam bahagian dan memiliki keupayaan serta kualiti kepimpinan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Zaini berkata persiapan untuk menghadapi PRK Pelangai sudah pun dijalankan di peringkat bahagian termasuk mesyuarat untuk menyelaraskan perjalanan kempen.

Difahamkan, lima nama itu termasuk dua calon wanita yang mana seorang daripada mereka memegang jawatan dalam Umno Bentong, manakala seorang lagi bekas ketua sayap.

Kerusi DUN Pelangai kosong berikutan kematian Datuk Seri Johari Harun, dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.

Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), Johari memenangi kerusi itu dalam pertembungan empat penjuru dengan majoriti 4,048 selepas memperoleh 7,308 undi.

Kasim Samat dari Perikatan Nasional memperoleh 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Pejuang (65 undi)

Semalam, Pas Pahang mengesahkan parti itu telah menyerahkan tiga nama bakal calon termasuk Kasim yang tewas pada PRU-15 kepada pucuk pimpinan pusat parti itu untuk dipertimbangkan pada PRK berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 7:00 PM