GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Asrol Awang

Kuantan: Persediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober depan berjalan mengikut perancangan ditetapkan.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Bentong Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, persediaan itu membabitkan dua fasa iaitu sebelum dan selepas hari penamaan calon.

Menurutnya, setakat ini persiapan sebelum hari penamaan sudah mencapai 100 peratus daripada segi gerak kerja membabitkan jentera parti dari seluruh Pahang.

"Ia membabitkan pembahagian pusat daerah mengundi (PDM) yang akan dijalankan oleh jentera bahagian sebagai bapa angkat yang akan menjaga kawasan ditetapkan.

"Bagi persediaan selepas hari penamaan calon pula, gerak kerja lebih agresif dilakukan termasuk bantuan dan jentera parti dari luar Pahang seperti dari Perak, Melaka, Johor.

"Oleh itu, kita berharap segala persediaan ini berjalan lancar dengan kerjasama dan sokongan daripada semua jentera parti untuk mempertahankan kerusi DUN Pelangai," katanya ketika dihubungi hari ini.

PRK DUN Pelangai ditetapkan 7 Oktober depan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

SPR menetapkan 23 September ini adalah hari penamaan calon, tempoh kempen selama dua minggu bermula 23 September hingga 6 Oktober, undi awal (3 Oktober) dan hari pengundian (7 Oktober).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Johari berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi apabila menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.

Beliau memperoleh 7,308 undi berbanding 3,260 undi diterima lawannya itu, manakala dua lagi calon iaitu Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Ditanya strategi untuk menarik pengundi keluar mengundi terutama golongan muda, beliau berkata, gerak kerja peringkat Pemuda dan Puteri Umno negeri dan bahagian akan melaksanakannya.

"Pelbagai strategi dan aktiviti dirancang untuk memastikan pengundi DUN Pelangai keluar mengundi nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 1:29 PM