WAN Ahmad Fayhsal. FOTO NSTP.
WAN Ahmad Fayhsal. FOTO NSTP.
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Usul tergempar bagi memanggil Peguam Negara untuk menjelaskan mengenai keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi, akan menjadi agenda pertama Perikatan Nasional (PN) pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, esok.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, beliau akan membangkitkan usul di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat pada 10 pagi, bagi mendapatkan pengesahan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul sama ada diterima atau sebaliknya.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Bersatu berkata, setakat ini, belum ada jawapan rasmi daripada pejabat Johari diterima selepas permohonan usul itu dikemukakan sebelum 10 pagi Jumaat lalu.

"Saya dimaklumkan, Yang Dipertua mahu berjumpa saya pada jam 9 pagi esok. Wallahualam sebab apa tapi saya akan pergi dan dengar apa yang beliau ingin katakan.

"Bagaimanapun, saya tetap akan bangun pada jam 10 pagi (esok) untuk membawa usul ini," katanya pada sidang media kempen Gerakan Selamatkan Malaysia di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Wan Ahmad Fayhsal mengemukakan usul tergempar berkenaan bagi meminta sidang Dewan Rakyat, esok ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat untuk memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan penarikan balik 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid.

Katanya, usul itu adalah perkara tertentu kerana Dewan Rakyat berhak mengetahui perincian dan asas keputusan berkenaan memandangkan Timbalan Perdana Menteri adalah seorang anggota pentadbiran kanan Kerajaan Persekutuan dan seorang Ahli Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan mahkamah itu tidak boleh dibahas pada sidang khas berkenaan kerana platform Parlimen tidak boleh ditukar untuk berperanan sebagai sebuah mahkamah bagi membincangkan mengenai keputusan mahkamah.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang bersidang enam hari bermula esok bakal tertumpu kepada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) oleh Perdana Menteri.

KSP RMKe-12 itu disediakan bagi mengukur pencapaian pada 2021-2022, serta hala tuju 2023-2025 ke arah mencapai negara mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi dengan mengambil kira cabaran domestik dan trend global semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 2:43 PM