ANTARA barang yang dirampas selepas seorang lelaki ditahan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barang yang dirampas selepas seorang lelaki ditahan. FOTO Ihsan PDRM
Samadi Ahmad


Putrajaya: Polis menahan seorang lelaki yang cuba memecah masuk di sebuah apartment di Blok 8 B1, Presint 9 di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, polis menerima laporan daripada pemilik rumah memaklumkan melihat seorang lelaki memakai t-shirt putih dan berseluar jeans biru sedang memegang kunci mangga dan pintu jeriji besi ketika pulang ke rumah pada 10.20 pagi.

Menurutnya, suspek menyatakan ingin menghantar barang namun pemilik rumah mendapati kunci mangga sudah rosak.

Katanya, ketika pengadu menoleh ke belakang didapati lelaki berkenaan melarikan diri melalui pintu tangga dan turun ke bawah bangunan.

"Pemilik kediaman memaklumkan dalam tempoh seminggu ini beliau tidak membuat sebarang pembelian secara dalam talian.

"Dia mengesyaki lelaki berkenaan mahu memecah masuk ke kediamannya lalu memaklumkan kepada kumpulan WhatsApp blok kejiranan supaya berjaga-jaga memandangkan suspek masih berlegar-legar di blok berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Asmadi berkata, jiran yang membaca mesej berkenaan turut membantu mencari dan suspek berjaya ditangkap pada 11 pagi sebelum diserahkan kepada polis.

Menurutnya, suspek berusia 29 tahun mempunyai 11 rekod lampau pelbagai kesalahan.

"Permohonan perintah tahanan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Putrajaya esok bagi meneruskan siasatan di bawah Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan 28(i)(II) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

"Polis turut merampas sebuah beg pinggang berwarna hitam mengandungi spanar, perengkuh paip, satu batang elenkey, 11 anak kunci, sebuah telefon bimbit dan masing-masing seunit penyepit kuku dan batang kikir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 8:05 PM