GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Hasbi Sidek


TUJUH lelaki dan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kejadian samun sebuah kedai di Plaza Citra Kajang pada 21 September lalu, ditahan di Seri Kembangan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya turut merampas 23 telefon bimbit dan pelbagai peralatan untuk memecah rumah.

"Dalam kejadian pada 21 September lalu, suspek memecah masuk premis menjual peralatan elektrik dan elektronik sebelum melarikan 22 telefon bimbit serta wang tunai bernilai RM5,461.90.

"Hasil siasatan awal pihak polis mendapati suspek dipercayai menggunakan kunci pendua untuk membuka pengunci mangga dan mengumpil pintu jeriji besi," katanya.

Beliau berkata, semakan rakaman CCTV pada bahagian luar mengesan pergerakan seorang lelaki menaiki motosikal dan bertopi keledar memecah masuk kedai sebelum melarikan barang dalam premis berkenaan.

"Hasil risikan dan maklumat orang awam, pihak polis membuat tangkapan terhadap tujuh lelaki dan seorang wanita bersama rampasan 23 telefon bimbit serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah pecah rumah.

"Semua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 9:48 PM