Nor Farhani Che Ad


TINDAKAN seorang lelaki memecah masuk rumah di Taman Serai Setia, Padang Serai, Kulim membawa padah apabila dia dicekup oleh pemilik kediaman berkenaan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, dalam kejadian jam 9 pagi itu, pemilik rumah dikatakan menyedari kehadiran suspek berusia 17 tahun selepas ternampak kesan ceroboh di pagar rumahnya.

“Apabila mangsa masuk ke dalam rumah, dia mendapati barang di dalam almari berselerak sebelum ternampak suspek yang cuba melarikan diri.

“Mangsa bertindak mengejar suspek sambil menjerit meminta tolong sebelum berjaya menangkapnya dengan dibantu penduduk lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Nasir berkata, siasatan awal mendapati suspek masuk melalui pintu hadapan dengan cara memotong kunci mangga dan membengkokkan pagar besi rumah terbabit.

“Terdapat kesan umpil pada pagar rumah mangsa. Mangsa juga dikatakan kehilangan sebuah kamera. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 8:20 PM