Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selesai memberikan keterangan kepada pihak polis di Pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut, di sini, pada 12.30 tengah hari tadi.

Keterangan berkenaan diambil bagi membantu siasatan berhubung ucapan Abdul Hadi yang dipercayai mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, minggu lalu.

Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, Abdul Hadi memberikan kerjasama yang baik ketika memberikan keterangan.

"Keterangan diambil kira-kira sejam, Tuan Guru (Abdul Hadi) ditemani seorang peguam ketika memberikan keterangan.

"Tuan Guru memberikan kerjasama yang baik dan menjawab semua soalan kepada polis," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Syahir Che Sulaiman pada sidang media selepas pegawai polis Bukit Aman hadir di Ibu Pejabat Agung PAS bagi mengambil keterangan Abdul Hadi. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Syahir Che Sulaiman pada sidang media selepas pegawai polis Bukit Aman hadir di Ibu Pejabat Agung PAS bagi mengambil keterangan Abdul Hadi. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Terdahulu, pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman tiba di Pejabat Pas Pusat kira-kira 11.20 pagi.

Pada 28 Ogos lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan dibuka terhadap Abdul Hadi mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sebelum ini, Mohd Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas, dalam satu kenyataan di media sosial X (dulu dikenali sebagai Twitter) mengesahkan Abdul Hadi dipanggil Bukit Aman berhubung laporan polis membabitkan ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Simpang Jeram, Muar.

Abdul Hadi dalam ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Bakri dipercayai menyentuh bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah tidak sesuai dengan ajaran Islam.

Presiden Pas itu bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman berhubung laporan polis terhadap ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 2:13 PM