Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak mengelak daripada memberi keterangan kepada polis sebaliknya perlu menerima rawatan di hospital.

Menjelaskan perkara itu, Setiausaha Politiknya Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, Abdul Hadi perlu menerima rawatan antibiotik di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

"Pada pagi Sabtu lalu, Tuan Guru (Abdul Hadi) lewat tiba di Kuala Lumpur kerana menerima rawatan di hospital dan selesai menerima rawatan sekitar 11.30 pagi.

"Ini menyebabkan Tok Guru (Abdul Hadi) terlepas temu janji (rakam keterangan) dengan polis kerana rawatan selesai pada 11.30 pagi sebelum bertolak ke Kuala Lumpur pada 12 tengah hari," katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Pas Pusat, Jalan Raja Laut di sini hari ini.

Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, beliau juga sudah memaklumkan kepada polis berhubung rawatan berkenaan.

"Saya memaklumkan terlebih awal pada 8 pagi dan mereka (polis) setuju serta berikan tarikh baharu iaitu hari ini," katanya

MOHD Syahir pada sidang media di Bukit Aman. FOTO Hazreen Mohamad
MOHD Syahir pada sidang media di Bukit Aman. FOTO Hazreen Mohamad

Mohd Syahir turut menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Marang cuba mengelak daripada disoal siasat polis selain penyebaran gambar pertemuan dan mesyuarat Abdul Hadi membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan empat menteri besar kepimpinan Perikatan Nasional.

Katanya, pihaknya sentiasa berkomunikasi dengan Bukit Aman berkaitan perkara ini.

"Jadi tidak timbul soal Tuan Guru tidak sihat atau berhelah dan mengelak untuk dirakam keterangan.

"Pertemuan dengan Tun M serta mesyuarat empat MB itu sememangnya dalam jadual asal," katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin mempersoalkan sama ada Abdul Hadi, benar-benar menghadapi masalah kesihatan selepas beliau dilihat menghadiri pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, kelmarin.

Razeef dilapor membangkitkan isu itu selepas polis sebelum ini memaklumkan proses mengambil keterangan Abdul Hadi ditangguhkan kerana Presiden Pas itu dikatakan menghadapi masalah kesihatan dan masih uzur.

"Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, polis sepatutnya mengambil keterangan Abdul Hadi hari ini (Sabtu) namun ditangguhkan kerana masalah kesihatan dialaminya.

"Namun petang tadi (Sabtu), hari yang sama Abdul Hadi bersama empat menteri besar daripada Pas serta Setiausaha Agung Pas (Datuk Seri Takiyuddin Hasan) melakukan kunjungan ke kediaman (Dr) Mahathir,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 2:52 PM