KAMARUL Zaman, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
KAMARUL Zaman, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Johor Bahru: Polis mengesahkan menyiasat kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dipercayai mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, dua hari lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

"Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh isu 3R iaitu institusi diraja, agama dan kaum demi menjaga dan mengekalkan ketenteraman awam.

"Tindakan akan diambil kepada semua pihak tanpa mengira parti jika menyentuh isu berkenaan," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas Mohd Syahir Che Sulaiman dalam satu kenyataan di media sosial X (dulu dikenali sebagai Twitter) hari ini mengesahkan Abdul Hadi dipanggil Bukit Aman berhubung laporan polis membabitkan ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Simpang Jeram, Muar.

Dua hari lalu, Abdul Hadi dalam ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Bakri, dipercayai menyentuh bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah tidak sesuai ajaran Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 3:20 PM