JKM Batu Pahat mengesan waris kepada Bedah dan Kannan. FOTO ihsan JKM Batu Pahat
JKM Batu Pahat mengesan waris kepada Bedah dan Kannan. FOTO ihsan JKM Batu Pahat
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencari waris kepada dua gelandangan yang diselamatkan dalam satu operasi di daerah ini serta Ayer Hitam, kira-kira 20 tahun lalu.

JKM Batu Pahat dalam kenyataan memaklumkan, dua gelandangan terbabit ialah Bedah Ahmad yang mengalami masalah lembam dan Kannan Subramanian bermasalah mental dengan kedua-duanya dianggarkan berusia 48 dan 68 tahun.

Menurutnya, Bedah diselamatkan dalam operasi gelandangan pada 2002 manakala Kannan setahun kemudian.

"Bedah diselamatkan di sekitar Batu Pahat manakala Kannan di Ayer Hitam. Bagaimanapun, sewaktu diselamatkan, pihak JKM tidak menemui sebarang dokumen terhadap kedua-dua mereka.

"Malah, hasil temubual mereka juga meragukan kerana penama tidak tahu tempat asalnya ataupun waris yang boleh membantu JKM mengesan keluarga mereka.

"Selain itu, semakan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga menemui kegagalan dengan tiada maklumat diperoleh berkaitan mereka," katanya.

Justeru, JKM meminta sesiapa mengenali kedua-dua gelandangan ini diminta menghubungi Penolong Pegawai JKM, Silanoraismawati Mohd Zin di talian 07-4341377 atau 017-7421326.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 3:08 PM