Azam Baki menandatangani buku pelawat ketika hadir sempena perasmian Pejabat Suruhanjaya SPRM Cawangan Gua Musang di Wisma Persekutuan hari ini. FOTO BERNAMA
Azam Baki menandatangani buku pelawat ketika hadir sempena perasmian Pejabat Suruhanjaya SPRM Cawangan Gua Musang di Wisma Persekutuan hari ini. FOTO BERNAMA
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menjalankan siasatan berhubung isu pengisytiharan harta terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua anaknya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak dapat memberikan maklumat lanjut berikutan kes berkenaan masih dalam siasatan.

"Saya ingin mengesahkan beliau (Dr Mahathir) adalah antara yang disiasat dalam kes ini dan kita turut memberi notis kepada kedua-dua anaknya untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan mengikut Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

"Saya tak dapat bagi 'detail' (maklumat lanjut) tentang apa kesalahan yang dilakukan oleh mereka dan sudah ditohmahkan terhadap Tun M.

"Biarkan penyiasatan berjalan dahulu sehingga pada satu ketika difikirkan sesuai, kita nyatakan (hasil siasatan) itu lebih moleklah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Gua Musang di Ibu Pejabat Kesedar, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan SPRM enggan mengulas dakwaan dua anak Dr Mahathir kononnya mereka diarah membantu siasatan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Pada 18 Jan lalu SPRM meminta kedua-dua anak Dr Mahathir, Mirzan dan Tan Sri Mohkzani, mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangan sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.

Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sementara itu diminta mengulas mengenai siasatan kes menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Azam berkata ada petunjuk-petunjuk baharu menunjukkan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan berbelanja menggunakan kad kredit di luar negara.

"Hasil pemantauan SPRM, beliau (Muhammad Adlan Berhan) ada menggunakan kad kreditnya dan berbelanja di beberapa buah negara.

"SPRM telah memohon kepada pihak INTERPOL bagi tujuan 'red flag' ke atasnya dalam kes ini dan kami masih mengesannya untuk dituduh di mahkamah," katanya.

Ogos lalu SPRM berusaha mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian

Mereka ialah Muhammad Adlan Berhan, 48, dengan alamat terakhir di Sunway Kiara Hills, Desa Sri Hartamas, dan Mansoor Saat, 69, beralamat terakhir di Subang Jaya, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 3:56 PM