Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Keserasian antara pemimpin gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam membincangkan apa jua program termasuk kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah lebih baik jika mahu dibandingkan dengan Perikatan Nasional (PN).

Dengan merujuk kepada apa yang berlaku terhadap Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Presiden BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, insiden itu memberi gambaran antara pemimpin dalam PN tidak mempunyai keserasian sehingga pemimpin tertinggi diperlakukan sedemikian.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, berbeza dengan gabungan BN dan PH yang keserasian antara mereka bukan bersifat 'artificial' (tiruan) tetapi ia adalah sesuatu yang 'authentic' (sahih) atau 'genuine' (asli).

"Saya perhatikan keserasian (BN-PH) bukan hanya dalam kalangan pemimpin peringkat nasional dan pemimpin di peringkat kawasan Parlimen sahaja tetapi di bahagian peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

"Ini adalah acuan yang ditetapkan oleh kepimpinan BN dan PH dalam beberapa mesyuarat penyelarasan Majlis Kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang saya berterima kasih kerana ia turut diterjemahkan di peringkat akar umbi.

"Berbeza dengan PN, yang mereka ada Pas, Bersatu tetapi pemimpin utama Presiden Gerakan telah tidak dibenarkan dalam majlis kempen anjuran PN (sendiri) yang ini memberikan gambaran bahawa tidak ada keserasian dari segi penyatuan jentera.

"Pada hemat saya Gerakan harus sedar bahawa mereka sebenarnya menjadi tunggangan atau hanya menunggang PN," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Terbuka Agropelancongan anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di Jeti Pengkalan Machang, Sungai Dua, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menyerahkan dua unit bot katamaran untuk diusahakan tiga koperasi nelayan dalam Parlimen Tasek Gelugor bagi tujuan memperkasakan pelancongan agro sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Ahmad Zahid berkata, walaupun BN hanya menawarkan enam calon sahaja untuk bertanding di Pulau Pinang tetapi jentera PH turun membantu bagi memastikan kemenangan Kerajaan Perpaduan.

"Jentera BN dengan PH akan bersama-sama bukan hanya memenangkan calon di enam kawasan ini tetapi jentera BN juga membantu jentera PH di kawasan Dun lain," katanya.

Ditanya berhubung prestasi BN di Pulau Pinang selepas seminggu tempoh kempen, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin pengundi akan membuat pilihan dengan memilih wakil rakyat dari parti itu.

"Kita tidak tahu lagi prestasi sebab mereka belum menang tetapi dari segi latar belakang mereka, saya yakin keenam-enamnya akan didokong oleh bukan sahaja kepimpinan tetapi oleh pengundi di kawasan bakal mereka wakili," katanya.

AHMAD Zahid merasmikan Program Hari Tebuka Agropelancongan anjuran PERDA di Jeti Pengkalan Machang, Sungai Dua, Tasek Gelugor. FOTO Nur Izzati Mohamad
AHMAD Zahid merasmikan Program Hari Tebuka Agropelancongan anjuran PERDA di Jeti Pengkalan Machang, Sungai Dua, Tasek Gelugor. FOTO Nur Izzati Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 6:41 PM