Nur Izzati Mohamad


EMPAT sekeluarga di Kampung Petani dekat Tasek Gelugor terpaksa berbuka puasa dan bersahur dalam keadaan rumah dinaiki air akibat banjir semalam.

Sofiah Ariffin, 73, bersama dua anak serta seorang menantu terpaksa mengharungi detik itu apabila rumah dinaiki air sehingga paras lutut.

Katanya, dia mengambil keputusan untuk berpindah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Muhibah Merbau Kudung, Sungai Dua memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu dan bimbang ia menjadi semakin buruk.

“Apabila air mencecah paras lutut, anak-anak mengajak untuk berpindah ke pusat pemindahan pagi tadi.

“Ikutkan saya tak mahu, tapi bila diingatkan banjir besar tiga tahun lalu apabila air naik sampai paras dada menyebabkan saya takut ia berulang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sofiah berkata, ini kali pertama dia berbuka puasa dalam banjir dan bersyukur ia tidak seteruk seperti banjir besar yang melanda negeri ini tiga tahun lalu.

SEBAHAGIAN penduduk Kampung Merbau Kudung yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan di Dewan Muhibbah, Merbau Kudung, Sungai Dua, Tasek Gelugor. FOTO Rosli Ahmad.
SEBAHAGIAN penduduk Kampung Merbau Kudung yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan di Dewan Muhibbah, Merbau Kudung, Sungai Dua, Tasek Gelugor. FOTO Rosli Ahmad.

Seramai 83 mangsa membabitkan 15 keluarga terjejas dipindahkan ke PPS berkenaan yang diselia Pejabat Daerah Seberang Perai Utara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, beberapa agensi turun menghulurkan bantuan terhadap mangsa yang terjejas akibat banjir.

“Bantuan kepada mangsa diselaraskan Pejabat Daerah dan agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari segi bekalan makanan dan logistik.

“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pihak polis memantau keadaan keselamatan mangsa banjir dan petugas di Jabatan Kesihatan negeri pula turun menjalankan pemeriksaan kesihatan manakala pejabat Ahli Parlimen akan membantu dari segi kebajikan mangsa banjir,” katanya.

Menurutnya, sebuah lagi PPS dibuka di Dewan Kampung Tok Sani selepas 34 mangsa membabitkan lapan keluarga terjejas akibat banjir.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa terjejas sekitar 117 penduduk membabitkan 23 keluarga dalam kawasan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 3:34 PM