DADAH yang dirampas polis ketika menahan seorang lelaki di tepi jalan di Kampung Selamat, Tasek Gelugor. FOTO Ihsan PDRM
DADAH yang dirampas polis ketika menahan seorang lelaki di tepi jalan di Kampung Selamat, Tasek Gelugor. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad

Tasek Gelugor: Gelagat seorang lelaki seperti menunggu seseorang dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Kampung Selamat di sini, mengundang padah apabila ditahan dengan sejumlah dadah pada malam tadi.

Lelaki tempatan berusia 28 tahun itu ditahan pada 8 malam sebelum pemeriksaan lanjut ke atasnya membongkar kegiatan mengedar dadah yang dilakukannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis yang mengadakan rondaan cegah jenayah menemui seorang lelaki yang menunggang motosikal berhenti di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan lalu membuat siasatan selanjutnya.

"Pemeriksaan yang dijalankan menemui dadah seberat 456 gram (g) dipercayai jenis heroin dan tujuh paket lut sinar yang mengandungi dadah jenis syabu seberat 194 gram yang bernilai RM24,400.

"Berikutan itu, suspek ditahan dan motosikal jenis Yamaha 125zr ditunggangi suspek dirampas untuk tindakan selanjutnya.

"Ujian saringan awal air kencing terhadapnya juga mendapati suspek positif dadah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, semakan ke atas suspek mendapati dia tidak mempunyai rokod jenayah lampau dan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

AIR ketum, daun ketum dan peralatan memproses air ketum yang dirampas polis ketika membuat serbuan di Butterworth dan Tasek Gelugor. FOTO Ihsan PDRM
AIR ketum, daun ketum dan peralatan memproses air ketum yang dirampas polis ketika membuat serbuan di Butterworth dan Tasek Gelugor. FOTO Ihsan PDRM

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 27 dan 42 tahun dalam serbuan berasingan di kawasan Sungai Puyu dan Kampung Baru, Tasek Gelugor pada 11 pagi semalam kerana terbabit dalam kegiatan memproses dan pengedaran air ketum.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis merampas 31,250 milimeter (ml) cecair ketum dan 30 kilogram (kg) daun kering dipercayai daun ketum yang dianggarkan bernilai RM770.

"Selain itu, kita turut merampas peralatan untuk memasak air ketum seperti periuk, tong dan dapur gas.

"Dua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 3:05 PM