Oleh Zulfa Mohamad

Tasek Gelugor: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) bakal kerugian RM3.6 bilion selain beberapa kampung terjejas jika projek pemindahan Pangkalan Udara Butterworth (PUB) menjadi kenyataan.

Pengerusi PERDA Datuk Shabudin Yahaya berkata, selain PERDA, pihak lain yang dijangka turut terjejas jika projek berkenaan dilaksanakan ialah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) membabitkan keluasan 80 hektar dengan 50 pengusaha, selain projek tanaman menggunakan teknologi tinggi seluas 40 hektar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, selain pengusaha tanaman, penduduk Kampung Desa Puri dan Paya Tok Akil turut menerima kesan buruk jika projek berkenaan dilaksanakan.

“Tidak kurang lima projek perumahan PERDA terjejas jika rancangan pemindahan PUB dilaksanakan kerana ia membabitkan tanah milik PERDA sedangkan misi PERDA ialah membangunkan perumahan mampu milik rakyat.

“Tidak guna bina rumah yang tidak mampu dimiliki rakyat dan pandangan rakyat mesti diambil kira sebelum pelaksanaan sesuatu projek,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan baju raya anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor di sini, semalam.

Pada majlis itu, 160 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah menerima baucar RM150 seorang untuk membeli baju raya membabitkan peruntukan RM30,000.

Menurutnya, pihak lain yang dijangka terjejas ialah 200 peniaga yang bakal beroperasi di Kompleks Pasar Tani Mega kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Katanya, pasar tani mega itu menggantikan pasar tani sedia ada di pekan ini dan apabila beroperasi, ia dijangka mencatat nilai jualan RM10 juta setahun.

“Semua kerugian itu serta pihak yang bakal terjejas perlu diambil kira jika PUB mahu dipindahkan.

“Lebih penting, ia turut bakal menjejaskan rancangan kerajaan Pusat menyediakan 20,000 unit rumah mampu milik di Pulau Pinang. Dalam aspek berkenaan, PERDA antara agensi bertanggungjawab membina rumah mampu milik untuk rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 8:09 AM