FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Bantuan kerajaan melalui inisiatif kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada rakyat dewasa mampu meringankan beban, sekali gus meningkatkan tahap celik tanpa tunai dengan mengalakkan pengunaan e-dompet di negara ini.

Peniaga kedai runcit, Najmi Shamsudin, 28, berkata inisiatif itu secara tidak langsung dilihat membantu merangsang dan memacu ekonomi digital termasuk penduduk di luar bandar.

Menurutnya, ketika ini sistem tanpa tunai sudah rancak digunakan di negara luar dan inisiatif yang diperincikan kerajaan itu secara tidak langsung dapat mendedahkan rakyat bergerak selari dengan teknologi yang semakin canggih.

"Kaedah pembayaran menggunakan e-dompet di kedai runcit sangat kurang dan biasanya hanya golongan muda seperti remaja lebih mahir menggunakan teknologi e-dompet berbanding golongan agak berusia di kawasan luar bandar.

"Jadi saya lihat usaha ini membantu golongan berusia 40-an dan ke atas (bekerja dan tinggal di kampung) menggunakan kemudahan ini kerana boleh dikatakan ramai yang guna telefon pintar, cuma kurang pendedahan aplikasi.

"Selain itu, sasaran untuk membantu golongan B40 dan M40 juga adalah wajar dalam situasi ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya ketika ini," katanya.

Pekerja swasta, Asliza Musa, 36, berkata walaupun hanya RM100, inisiatif itu dilihat masih dapat membantu mengurangkan beban rakyat terutama golongan B40 selain memperkasakan teknologi dalam sistem pembayaran harian.

"Inisiatif berkenaan masih dapat membantu sedikit beban kewangan rakyat terutama daripada segi perbelanjaan harian untuk petrol, motosikal dan bayaran tol ketika berulang-alik ke tempat kerja.

"Selain itu, rakyat juga boleh menggunakannya untuk makan tengah hari bagi tempoh antara seminggu hingga dua minggu, sekali gus menjimatkan sedikit perbelanjaan harian di tempat kerja mereka.

"Cuma kalau pembayarannya dicepatkan atau nilainya ditambah, ia akan lebih melegakan rakyat yang sehingga kini masih terkesan dengan keadaan ekonomi," katanya.

Sementara itu, kakitangan institusi kewangan, Mas Nur Athirah Azly Hushainy, 24, berkata inisiatif berkenaan menunjukkan kerajaan sedar keadaan rakyat ketika ini yang berhadapan cabaran ekonomi semasa.

Menurutnya, dia juga berpandangan inisiatif itu membantu dalam memberi kesedaran celik teknologi kepada masyarakat kerana masih ramai yang tidak celik digital biarpun hampir keseluruhan premis menyediakan kemudahan pembayaran itu.

"Bagi saya inisiatif ini lebih kepada menjimatkan duit makan dan saya yakin kebanyakan pengguna akan menggunakan e-dompet di restoran dan kedai serbaneka selain ini juga dapat menjimatkan belanja tol.

"Jadi insentif ini sangat membantu walaupun nilainya tidak banyak tetapi ia sebenarnya banyak untuk mereka yang memerlukan," katanya.

Katanya, dia yakin secara dasarnya rakyat akan gembira dengan peruntukan yang diberikan kerajaan, malah akan lebih memberi manfaat jika bantuan berkenaan diberikan secara berkala terutama kepada mereka kurang kemampuan.

"Sedikit sebanyak rakyat akan gembira dan kurang tertekan apabila dapat berbelanja menggunakan e-dompet kerana RM100 setiap bulan cukup memadai untuk perbelanjaan makanan dan minuman.

"Untuk keperluan asas, saya tahu ia mungkin tidak cukup tetapi pada pandangan saya, masih memadai untuk keperluan yang penting.

"Selain itu, kerajaan juga diharap peduli kepada mereka yang tidak celik teknologi atau tidak menggunakan telefon pintar untuk mendapatkan manfaat seperti ini," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, baru-baru ini mengumumkan inisiatif itu membabitkan peruntukan kira-kira RM1 bilion, akan memanfaatkan lebih 10 juta rakyat berusia 21 tahun ke atas merangkumi golongan B40 dan M40.

Media turut melaporkan Kementerian Kewangan sedang memperincikan inisiatif kredit e-tunai berkenaan yang akan dilaksanakan pada suku keempat tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 6:55 AM