GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti A’isyah Sukaimi


PERSIAPAN akhir bagi pelaksanaan inisiatif e-Tunai Rakyat yang diumumkan menerusi Belanjawan 2020 sebelum ini, giat dijalankan dan akan dilancarkan pada Januari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, program rangsangan digital berjumlah RM450 juta itu bertujuan menggalakkan penggunaan e-dompet dan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan pedagang tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan perniagaan runcit.

Katanya, Kementerian Kewangan melantik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk memudah serta menyelaraskan pelaksanaan inisiatif e-Tunai Rakyat yang membabitkan kerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kerja pelaksanaan yang diselaraskan oleh Khazanah ini adalah usaha komprehensif bagi memastikan inisiatif e-Tunai Rakyat akan dapat dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan serta menerapkan ciri keselamatan untuk pengguna.

“Antara lain, kerja pelaksanaan ini merangkumi usaha membangun mekanisme serta proses dan prosedur yang diperlukan.

“Khazanah juga bertanggungjawab ke atas pemilihan pengendali perkhidmatan e-dompet yang secara kolektif menyediakan platform sedia ada yang mempunyai jumlah pengguna aktif sedia besar serta rangkaian pedagang luas untuk inisiatif e-Tunai Rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Khazanah akan mengumumkan pengendali perkhidmatan e-dompet yang dipilih berdasarkan kriteria ditetapkan, supaya inisiatif dapat dilaksana pada tempoh Januari 2020.

Lee berkata, melalui inisiatif e-Tunai Rakyat, warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas dan berpendapatan tahunan kurang daripada RM100,000 layak menerima RM30 setiap seorang bagi dibelanjakan untuk barangan dan perkhidmatan yang tersedia melalui pengendali perkhidmatan e-dompet terpilih.

“Selain itu, pengendali perkhidmatan e-dompet yang dipilih juga merancang untuk menawarkan insentif tambahan bagi menggalakkan penggunaan sepanjang tempoh dua bulan inisiatif itu.

“Maklumat lanjut mengenai cara memohon serta terma dan syarat penggunaannya akan dimaklumkan oleh Khazanah dan pengendali perkhidmatan e-dompet yang dipilih dalam masa terdekat,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, program e-Tunai Rakyat sejajar dengan agenda Kemakmuran Bersama bertujuan mengurangkan halangan untuk akses kepada teknologi digital dan menjadikan proses digitalisasi untuk semua.

“Kami yakin inisiatif e-Tunai Rakyat ini akan memberi manfaat besar kepada pengguna dan pedagang tempatan serta akan dapat membantu mencapai matlamat disasarkan iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara bermasyarakat dan ekonomi digital yang maju.

“Adalah dijangkakan RM30 diberikan kepada setiap orang mungkin ditambah nilainya berpandukan kepada syarat dan tawaran oleh pengendali perkhidmatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 4:02 PM