Ali Pandak
Ali Pandak
BERNAMA

Ipoh: Seorang lelaki warga emas di Kampung Saseh Perkampungan Orang Asli Pos Porwor di Sungai Siput dikhuatiri hilang sejak petang semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata kehilangan Ali Pandak, 68, disedari anaknya apabila mendapati dia tiada di rumah dan cuba mencari di sekitar kawasan rumah, namun gagal ditemukan.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak 9 pagi tadi membabitkan 34 orang terdiri daripada bomba, polis dan orang awam.

"Radius pencarian dilakukan sejauh empat kilometer dan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi operasi SAR," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata mangsa dipercayai kurang sihat dan jarang keluar rumah dilihat kali terakhir berada di kediamannya oleh adik iparnya pada 7 pagi Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 3:23 PM