ISKANDAR pada sidang media ketika ditemui di pusat operasi di Jeti Parameswara Umbai. FOTO Nuraliawati Sabri.
ISKANDAR pada sidang media ketika ditemui di pusat operasi di Jeti Parameswara Umbai. FOTO Nuraliawati Sabri.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota komando yang dikhuatiri lemas dalam kejadian di kawasan perairan Pulau Undan, di sini, akan disambung esok pagi.

Lans Koperal Edrin Baintim, 25, dikhuatiri lemas ketika sedang melakukan kursus juruselam siang tadi.

Pengarah Maritim Melaka/Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, sejurus mendapat maklumat mengenai kejadian pada jam 5.15 petang, pihak bergegas ke lokasi dengan menaiki bot dan menggerak SAR namun tiada sebarang penemuan.

"SAR dihentikan pada 7.30 malam dan kita akan sambung awal pagi esok memandangkan tiada sebarang penemuan.

"Kita juga ada memaklumkan kepada komuniti nelayan yang ada menjalankan aktiviti penangkapan bagi membantu mencari mangsa," katanya.

Beliau berkata, bagi operasi SAR esok, pihaknya sudah menghubungi ibu pejabat bagi mendapatkan pasukan penyelam dan juga bantuan helikopter.

"Radius pencarian SAR esok akan diperluaskan berbanding kira-kira 1.3 kilometer barat daya Pulau Undan, yang dilakukan petang tadi selain berdepan arus air agak deras dan angin kuat.

"Kita harap keadaan cuaca baik kerana ia agak merumitkan. Kedalaman Pulau Undan dianggarkan kira-kira 40 meter," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 1:12 AM