Muhamad Lokman Khairi

Lumut: "Dia yang beria-ia ajak saya nak ke sini. Katanya mahu rehat, hilangkan tekanan selepas kematian ibunya," kata Mohd Fadzli Saad, bapa kepada remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas ditarik ombak di Pantai Teluk Senangin, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi semalam, Muhammad Fahmi Hafizi Mohd Fadzli, 19, dikhuatiri lemas ketika bermandi-manda bersama keluarga dan rakannya.

Menurut Mohd Fadzli, 51, ketika kejadian itu, anak kedua daripada tiga beradik yang mesra dipanggil Fahmi itu mandi tidak jauh daripada gigi air bersama Mohd Fadzli; abang Fahmi, Muhammad Faqrul Haziq Mohd Fadzli, 23, serta tiga orang rakan karib Fahmi iaitu Zahin Amsyar Zuraimi, 23; Muhd Afiq Ikhwan Mat Yusof, 23 dan Hazwan Affandy Hirman, 19.

"Tiba-tiba ombak kuat datang dengan mengejut hingga menarik Fahmi dan seorang rakannya (Muhd Afiq Ikhwan) ke tengah, manakala saya dan tiga lagi tertolak ke tepi pantai.

"Saya hanya nampak tangan Fahmi sudah terkapai-kapai beberapa ketika sebelum dia tenggelam sepenuhnya. Kejadian berlaku terlalu pantas," kata bapa tiga anak itu ketika ditemui di Pantai Teluk Senangin, di sini, hari ini.

Mohd Fadzli menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Fahmi Hafizi yang dilaporkan hilang selepas ditarik ombak kuat di Pantai Teluk Senangin, semalam. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Mohd Fadzli menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Fahmi Hafizi yang dilaporkan hilang selepas ditarik ombak kuat di Pantai Teluk Senangin, semalam. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI

Menurutnya, anaknya itu begitu teruja hendak membawanya serta ahli keluarga yang lain ke pantai peranginan berkenaan bagi berehat dan tenangkan diri selepas kematian ibu Fahmi, Hasnah Hasan, 45, akibat sakit jantung, 22 Mac lalu.

"Fahmi yang beria-ria ajak saya ke sini. Katanya hendak hilangkan 'stress'. Dia juga yang keluarkan belanja RM360 untuk sewa dua chalet bagi kegunaan kami. Tapi Allah lebih sayangkan dia.

"Ibunya baru sahaja meninggal dunia enam bulan lalu, saya tak sangka kehilangan dua orang tersayang secepat ini.

"Moga anak saya dijumpai segera. Terima kasih kepada semua agensi penyelamat termasuk nelayan di sini yang membantu mencari Fahmi sejak semalam," luahnya sebak.

Mohd Fadzli berkata, anaknya itu seorang yang taat dan ringan tulang membantunya menjual ikan di Kampung Masjid Sungai Duri, Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Sementara itu, rakan Fahmi yang turut ditarik ombak dalam kejadian semalam, Muhd Afiq Ikhwan, berkata Fahmi cuba mencapai tangannya, namun rakan karibnya sejak kecil itu semakin ke tengah akibat ombak kuat.

"Saya dan Fahmi ditarik ke tengah laut. Dia cuba tarik tangan saya sebab kami sama-sama sudah jauh daripada pantai, tapi tak sempat pegang tangan, dia lagi ke belakang.

"Saya pun tenggelam tertelan banyak air masin, memang tak boleh buat apa-apa ketika itu. Sepupu Fahmi cuba datang tolong, saya dapat selamatkan diri tapi Fahmi yang asalnya terkapai-kapai tenggelam dan masih belum berjaya ditemukan," katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Negeri Perak, Penguasa Kanan Bomba I Sabarodzi Nor Ahmad, berkata operasi SAR mangsa yang ditangguhkan jam 6.30 petang semalam kini disambung semula jam 8.30 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 2:59 PM