PROF Dr Haim Hilman Abdullah. FOTO arkib NSTP
PROF Dr Haim Hilman Abdullah. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Haim Hilman Abdullah dijangka bakal bertanding sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Beliau yang kini Profesor di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), UUM difahamkan menamatkan perkhidmatannya hari ini bagi membolehkan beliau menjadi calon PRN.

Haim Hilman, 50, dilaporkan akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra dan bakal berdepan dengan calon PKR, Datin Sabrina Ahmad.

Ketika ini DUN Jitra disandang oleh Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Bagaimanapun semalam media melaporkan, Pejuang mengambil pendirian tidak akan menyertai PRN membabitkan enam negeri yang akan berlangsung 12 Ogos ini.

Jumaat lalu, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan dua bekas pemain bola sepak serta dua ahli akademik bertaraf profesor akan ditampilkan sebagai calon mewakili gabungan itu dalam PRN akan datang.

Berucap pada Himpunan Munajat Perdana di Sik, Menteri Besar Kedah itu berkata, kebanyakan calon PN adalah golongan ustaz dan ulama yang mana kesemua mereka akan diketuai oleh seorang 'panglima'.

Selain pimpinan Pas dan Bersatu, Haim Hilman serta dua bekas kapten pasukan bola sepak Kedah,

Baddrol Bakhtiar dan Radhi Mat Din turut hadir pada himpunan berkenaan.

Baddrol dilaporkan bakal bertanding di DUN Bukit Selambau mana Radhi menjadi calon di DUN Alor Mengkudu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 11:34 AM