MOHAMMED Firdaus (kiri) bersama Baddrol di Dewan Lestari Guar Chempedak. FOTO Izzali Ismail
MOHAMMED Firdaus (kiri) bersama Baddrol di Dewan Lestari Guar Chempedak. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail

Guar Chempedak: 'Aksi' pertama kali buat bekas kapten bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun menjadi antara tumpuan utama Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Baddrol yang menjadi calon Perikatan Nasional (PN), dilihat tenang dan tidak kekok walaupun kini melangkah ke gelanggang politik yang berbeza dari arena bola sepak.

"Saya berazam mahu buat yang terbaik untuk rakyat, macam mana saya bermain bola sepak di padang dan rapat dengan penyokong bola sepak negeri Kedah, macam itulahlah saya mahu mencurahkan usaha saya kepada rakyat di negeri Kedah ini sekiranya saya dipilih nanti.

"Perasaan saya memang teruja, dan saya bersyukur dan rasa terharu kerana ramai yang hadir pada pagi ini, dan semua berjalan dengan lancar dan sebaik menyerahkan borang dan disahkan calon, saya berserah kepada Allah.

"Saya akan berusaha sebaik mungkin untik bersama dengan rakyat sekitar taman di dun Gurun untuk memberi kepercayaan kepada penduduk di Gurun dan mereka ada hak untuk mengundi siapa yang mereka pilih," katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di Pusat Penamaan Calon Dewan Lestari, Guar Chempedak.

Menurut Baddrol, dorongannya untuk menyetai politik bermula dengan perancangan yang dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kepadanya sejak setahun lalu.

"Inspirasi dalam politik ini semestinya ialah di belakang saya dan idola saya yang kita tahu Menteri Besar Kedah kerana dia memilki perancangan yang begitu luas dan ke depan untuk pemuda pemudi di Kedah dan juga menaikkan nama negeri Kedah.

"Dia ada perancangan untuk golongan muda di negeri Kedah ini yang dia selalu cakap 'the greatest Kedah' banyak kali dan itu perancangan dia untuk dimanfaat buat anak-anak muda di masa hadapan ini.

"Dengan itu juga, saya sanggup korbankan karier saya yang selama ini selama 18 tahun berbakti dalam bola sepak negeri Kedah selama 16 tahun, dan di Sabah selama satu tahun tujuh bulan," katanya.

Baddrol bakal ditentang oleh wakil dari Pakatan Harapan, Mohammed Firdaus Johari, 39, yang juga anak kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul.

Beliau sudah berada dalam bidang politik di Gurun serta aktif dan terlibat dalam PKR di samping bertugas sebagai penyelaras pusat perkhidmatan rakyat bagi DUN Gurun.

Menurut Mohammed Firdaus, usaha berterusan dalam DUN Gurun yang beliau sedang bergiat aktif hingga kini mahu dikembangkan lagi dengan lebih hebat dalam usaha membantu meningkatkan ekonomi anak muda sekaligus mengeluarkan golongan yang terkesan dari kelompok kemiskinan.

"Untuk kali ini kita akan tambah nilai program kita dan tertumpu kepada beberapa faktor iaitu aspek kebajikan rakyat di DUN Gurun dan yang kedua aspek anak muda yang kita akan berikan lebih tumpuan kepada peluang kerjaya anak muda untuk bawa anak muda keluar dari kemiskinan melalui latihan untuk anak muda melibatkan TVET dan lain-lain yang kita akan beri fokus.

"Saya mahu terus menunjukkan politik matang kepada anak muda supaya diluar sana pengundi anak muda dan generasi pelapis baharu dapat melihat betapa matangnya politik yang dibawa dan insyaAllah benda ini akan menjadi satu ikutan kepada anak-anak muda juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 3:45 PM