MUHAMMAD Sanusi ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MUHAMMAD Sanusi ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Sik: Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan dua bekas pemain bola sepak, serta dua ahli akademik bertaraf profesor akan ditampilkan sebagai calon mewakili gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.

Menteri Besar Kedah itu berkata, kebanyakan calon PN adalah golongan ustaz dan ulama yang mana kesemua mereka akan diketuai oleh seorang 'panglima'.

"Tuan-tuan sekalian, (pada) 12 Ogos, undilah Perikatan Nasional, sudah diperkenalkan sebahagian daripada pemain-pemain baharu kita, menjelang pertukaran musim ini,

"Musim kedua perpindahan (penggal baharu), kita akan ada dua profesor untuk mewakili kita, player(pemain) bola ada dah dua, ustaz (dan) ulama tak payah kira, (memang banyak), dan seorang panglima (akan) duduk di hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana di Dewan Al Hana di sini, malam tadi.

Sebelum ini, media melaporkan bekas ketua pasukan bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar yang juga Ketua Pasukan Sabah FC disebut-sebut sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Gurun.

Terdahulu, Majlis Pengisytiharan Calon-Calon Perikatan Nasional (PN) Kedah yang dijadual berlangsung hari ini ditangguhkan kepada Rabu depan.

Setiausaha PN Kedah, Musoddak Ahmad berkata, penangguhan itu diputuskan oleh Majlis PN Pusat dan PN Kedah dalam mesyuarat yang diputuskan pada Rabu lalu.

Katanya, perubahan tarikh berkenaan tiada kaitan dengan dakwaan terdapat perubahan calon Pas pada saat akhir susulan kes pendakwaan membabitkan Muhammad Sanusi pada Selasa lalu.

Untuk rekod, Kedah memiliki 36 kerusi Dun yang mana PN menguasai 21 daripadanya sebelum Dun dibubarkan 28 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 8:32 AM