Zuliaty Zulkiffli


Kuala Kedah: Bekas kapten bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar menepis dakwaan sesetengah pihak yang dia tidak layak menceburi politik sebaliknya lebih layak beraksi di padang bola.

Menurutnya, dakwaan itu menjadi lebih semangat buat dirinya untuk terus berkempen sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Katanya, dia berazam untuk membuktikan kepada semua yang dia membuat keputusan yang tepat untuk terjun ke bidang ini (politik) dengan bertanding PRN ini.

"Kritikan itu hanya akan menjadi motivasi untuknya membuktikan bahawa mereka salah.

"Saya menganggap ini sebagai motivasi untuk memperjuangkan rakyat Kedah, memperjuangkan belia, dan untuk semua masyarakat Cina dan India di Kedah," katanya ketika ditemui pada Program Santai dengan penduduk Kuala Kedah, di sini hari ini.

Baddrol percaya berdasarkan pengalamannya dalam menghadapi cabaran sebagai pemain bola sepak profesional akan membantunya dalam kempen.

"Sebelum ini, bermain bola sepak agak mencabar. Begitulah saya melihat politik, saya akan memimpin sama seperti saya memimpin rakan sepasukan di atas padang sebelum ini," katanya.

Baddrol berkata, Menteri Besar sementara, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut membimbingnya untuk membuat persiapan menghadapi PRN ini.

Katanya, dia belajar lebih banyak mengenai politik sejak berpindah ke Sabah dan Sanusi menjadi tokoh yang memberi inspirasi kepadanya.

"Beliau banyak mengajar saya berkaitan politik. Dia beritahu, politik bukan seperti bola sepak. Dalam bola sepak, selama 90 minit, anda akan penat, tetapi dalam politik ia 24 jam setiap hari," katanya.

Baddrol akan berdepan pertarungan langsung dengan pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH) Mohammed Firdaus Johari.

Kerusi itu sebelum ini dimenangi bapa Firdaus, Tan Sri Johari Abdul, yang mengosongkan kerusi itu untuk menyandang jawatan speaker Dewan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 11:01 PM