Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah), bersama Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (kanan), dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua, kiri), ketika hadir Program sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor di MSekin Wonderland, Sekinchan, Selangor. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sekinchan: Pengerusi bagi badan berkanun dan ahli lembaga pengarah yang dilantik di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan diingatkan supaya menjalankan tugas dengan baik.

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, mereka perlu sentiasa bersama dengan masyarakat terutama petani dan nelayan dalam usaha membantu golongan itu.

"Jangan duduk saja. Jangan hanya hadir mesyuarat apabila dipanggil.

"Sapa (siapa) yang duduk saja, saya dapat rekod dia hanya hadir mesyuarat, hang (kamu) tunggu, aku (saya) buang la (waktu) itu juga," katanya ketika berucap pada program Sentuhan Agro Madani Peringkat Selangor di MSekin Wonderland, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan program itu yang dihadiri kira-kira 6,000 pengunjung.

Pada 11 Mei lalu, Mohamad mengumumkan pelantikan lima pengerusi bagi badan berkanun di bawah kementeriannya.

Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Adun Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Selain itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah Dr Azman Ismail dilantik sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Adun Behrang Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 1:36 PM