LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Lantikan politik tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang dan perlembagaan negara.

Penganalisis Politik Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, lantikan politik membolehkan mereka lebih bertanggungjawab dan berhati-hati kerana sentiasa dipantau bukan sahaja dalam organisasi berkaitan, malah segala tindak tanduk oleh ahli parti, parti dan orang ramai turut diperhati.

"Apabila ini berlaku ia memerlukan (individu) dilantik akan menjalankan tugasnya dengan lebih baik agar tidak dipertikaikan lantikan dan membuktikan keupayaannya bukan sahaja atas nama individu, malah untuk memelihara nama baik partinya.

"Selagi yang dilantik secara lantikan politik itu mempunyai kelayakan dan mampu menyumbang dalam mana-mana organisasi maka ia sepatutnya tidak menjadi isu," katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, katanya, lantikan itu juga memudahkan kerajaan membuat pemantauan kerana pelantikan sudah pasti mengambil pelbagai pertimbangan dan justifikasi yang memboleh dan melayakkannya menyandang jawatan berkenaan.

"Tidak semestinya semua lantikan politik menimbulkan masalah kerana tanpa lantikan politik juga banyak organisasi mengalami kerugian yang teruk, isu salah guna kuasa dan sebagainya.

"Hanya disebabkan individu berkenaan ahli parti politik tidak semestinya tidak layak memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), jika ini berlaku maka ini adalah salah satu bentuk diskriminasi.

"Banyak lagi organisasi yang tidak ada lantikan politik tetapi tidak menjadi isu," katanya.

Lebih penting, katanya, ada mekanisme kawal selia, pemantauan, kelayakan dan membudayakan kerja cemerlang dalam pelantikan lantikan politik dan bukan lantikan politik.

Sebelum ini, kerajaan perpaduan menegaskan tidak akan melakukan sebarang pelantikan ahli politik bagi jawatan dalam GLC yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, beliau tidak berhasrat untuk melantik mana-mana ahli politik dalam syarikat jenis berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Mohamad Sabu dalam satu kenyataan semalam mengumumkan pelantikan lima pengerusi baharu badan berkanun bawah kementeriannya berkuat kuasa Isnin depan.

Mereka adalah bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADun) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Turut dilantik adalah Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM); Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) serta Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 3:28 PM