Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Pembayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 secara sekali beri sebanyak RM200 kepada 240,000 pesawah dan 38,500 nelayan dibuat mulai Isnin ini, menurut Kementerian Pertanian dan Kerterjaminan Makanan (MAFS).

MAFS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembayaran itu akan dibuat kepada golongan berkenaan melalui agensi ditetapkan iaitu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi pesawah.

Bagi nelayan laut, bayaran bantuan akan dibuat melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), manakala pembayaran bantuan kepada nelayan darat dibuat melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DoF).

MAFS memaklumkan bantuan itu layak diberikan kepada pesawah, nelayan laut dan nelayan darat warganegara Malaysia sahaja.

Kementerian itu berkata pesawah yang layak adalah mereka terlibat dalam aktiviti penanaman padi pada 2022 dan berdaftar dengan agensi dilantik kerajaan serta tertakluk kepada syarat khusus ditetapkan oleh Bahagian Pembangunan Industri Padi MAFS.

Bagi nelayan laut, mereka adalah dari golongan yang aktif menjalankan aktiviti penangkapan ikan dan berdaftar dengan agensi dilantik kerajaan serta tertakluk kepada syarat khusus ditetapkan oleh LKIM, manakala bagi nelayan darat pula, mereka juga perlu menepati syarat sama dengan nelayan laut selain berdaftar dengan DoF.

Bagi sebarang pertanyaan, golongan terbabit boleh menghubungi Bilik Gerakan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri MAFS di talian 03-8870 1759/ 1760/ 1761, DoF 03-8870 4422/ 4475, LPP 03-2610 9664, LKIM 03-8064 9303, MADA 04-772 8255 dan KADA 09-745 5388.

Pada 30 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan khabar gembira itu berkata, bantuan berkenaan bakal memberi manfaat kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan yang menelan belanja RM170 juta ringgit.

Dalam Belanjawan 2023 sebelum ini, kerajaan mengumumkan bantuan RM300 sebulan kepada nelayan dan RM200 sebulan untuk pesawah padi bagi tempoh tiga bulan semusim, serta menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan kepada pekebun kecil getah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 3:46 PM