DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Arkib NSTP
Hamzah Osman


Langkawi: Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bengang apabila akaun TikToknya disekat, semalam, malah menyifatkan ia sebagai usaha menghalang kemaraannya berkempen secara maya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Besar Kedah mahu pihak berkaitan mengaktifkan semula akaun media sosial popular miliknya itu bagi memudahkannya mendekati rakyat, khususnya menjawab pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap dirinya.

"TikTok (saya) tak dak dah la malam ni (sebab) kena padam. (Ada) 5.2 juta 'like' habis (hilang), pengikut pun juta jugak, nak buat lain kena cari seorang demi seorang lambat.

"Kalau mereka betul anak jantan, pulangkan TikTok saya," katanya dalam satu ceramah di Baling, malam tadi, menerusi video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok lain dan tular hari ini.

Dalam video sama, Muhammad Sanusi mendakwa beberapa rakannya mengalami nasib sama apabila akaun TikTok mereka turut disekat.

"(Minta) pulangkan juga TikTok rakan-rakan yang di 'ban' (sekat) beberapa hari lepas contohnya TikTok milik Sir Azri kena (sekat) hari ini (semalam).

"Medan kita nak jawab habis la, (sebab) kita tak boleh masuk TV (televisyen) dan radio, jadi guna TikTok dan Facebook ja, (tapi) Facebook budak-budak tak tengok la ni (dikatakan) hak orang tua," katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan itu seolah-olah Kerajaan Perpaduan yang didukung Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengamalkan pemerintahan 'kuku besi' bagi menyekat kemaraan parti lawan untuk bersuara menjelang PRN pada 12 Ogos ini.

"Menjelang PRN ini mereka akan guna kuku besi, hanya maklumat daripada mereka sampai kepada orang ramai, (manakala) jawapan balas kita tidak sampai.

"Lepas ini akan datang pelbagai cerita buruk yang tak sempat kita jawab kerana kita kekurangan media," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 12:03 PM