Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Titiwangsa di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Titiwangsa di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Kuala Lumpur: Akta antilompat parti perlu diperkasakan jika ada kekurangan dan isu teknikal, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Berita Harian melaporkan Johari menyifatkan tindakan itu wajar bagi memastikan kestabilan politik demi kepentingan rakyat, beliau berpandangan, jika ada masalah teknikal atau kekurangan dalam peruntukan sedia ada, ia perlu ditangani dan diperbetulkan jika perlu.

Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi itu juga menegaskan, tindakan mana-mana wakil rakyat yang bertukar parti selepas memenangi pilihan raya wajar dinoktahkan.

"Saya berpandangan apabila kita dipilih (sebagai Ahli Parlimen) oleh sesuatu parti, apabila kita bertanding, maka kalau kita melompat, ia adalah perbuatan yang tidak boleh kita galakkan, terutama dalam usaha membangunkan negara pada masa akan datang.

"Ini (melompat parti) boleh menakutkan pelabur. Bayangkan, mereka datang kepada kita berdasarkan kerajaan yang ada. Namun, di tengah jalan, berlaku perubahan pentadbiran Persekutuan, sekali gus mengundang masalah, terutama jika berlaku perubahan dasar.

"Kita tidak boleh menggalakkan perbuatan sedemikian (lompat parti). Saya berpandangan, kita perlu mendidik golongan muda dan generasi akan datang mengenai kepentingan berprinsip.

"Kita tidak boleh guna isu teknikal untuk mengelak daripada prinsip berkenaan," katanya kepada Buletin TV3 ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Titiwangsa di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 2022 dan diwartakan pada 6 September tahun sama selepas diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Pada 28 Julai 2022, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

Johari yang juga Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan turut mengingatkan kesan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kalah selepas 60 tahun menerajui kerajaan.

"Selepas BN kalah pada PRU14, banyak perubahan dalam dasar kerajaan, termasuk (pemansuhan) Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Akhirnya, apa yang berlaku? Kita tahu (kini) sistem berkenaan (GST) baik dan digunakan di 174 negara di seluruh dunia.

"Ini adalah pengajaran yang perlu diambil supaya lompat parti tidak menjadi budaya kita," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 11:40 PM