BOT yang dikatakan dinaiki lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang. FOTO ihsan JBPM Pahang
BOT yang dikatakan dinaiki lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang. FOTO ihsan JBPM Pahang
Asrol Awang

Kuantan: Seorang pelajar tingkatan lima dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh daripada bot di Sungai Pahang berhampiran Kampung Orang Asli Tanah Merah, Pekan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata mangsa, Muhammad Danial Fakhrullah Mohd Azri, 17 dikatakan menaiki bot itu untuk menangkap ikan.

Katanya, berdasarkan laporan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9 pagi.

"Hasil soal siasat, bapa mangsa mengesahkan bot yang berada di tengah Sungai Pahang adalah miliknya.

"Bapa mangsa memberitahu anak lelakinya biasa menggunakan bot itu untuk menangkap ikan di Sungai Pahang berhampiran Kampung Belimbing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berikutan itu, operasi mencari dan menyelamatkan (SAR) diaktifkan bagi mencari mangsa.

Katanya, seramai 31 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terbabit dalam operasi berkenaan

"Beberapa penduduk Kampung Belimbing dan Kampung Orang Asli Tanah Merah turut sama membantu dan operasi pencarian masih diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 10:22 PM