MENTERI Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang merasmikan Majlis Penutupan Pesta Gawai dan Kaamatan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Ming, Puchong, hari ini. FOTO NURUL HIDAYAH BAHAUDIN
MENTERI Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang merasmikan Majlis Penutupan Pesta Gawai dan Kaamatan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Ming, Puchong, hari ini. FOTO NURUL HIDAYAH BAHAUDIN
Nurul Hidayah Bahaudin


Puchong: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan melaksanakan empat program baharu di bawah inisiatif 'Ini Warisan Kita'.

Ia membabitkan Festival Budaya Warisan Sarawak; Festival Budaya Warisan Sabah;

Kenali Minoriti Kita dan Bahasa Etnik Minoriti.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pihaknya melancarkan inisiatif 'Ini Warisan Kita' iaitu salah satu pengisian utama dalam program flagship kementerian itu.

Katanya, ia membabitkan Kembara Perpaduan Malaysia MADANI melalui konsep 'Perpaduan Dalam Kepelbagaian'.

"Tujuan utama inisiatif ini adalah untuk menyuntik semangat cinta kepada tanah air melalui penghayatan terhadap kepelbagaian khazanah yang kita warisi sejak turun temurun lagi.

"Melalui usaha ini, KPN berjaya melaksanakan beberapa program seperti Bicara Bahasa Kolokial; Debat Perpaduan Pengajaran Bahasa Siam; Pameran Kebaya Misi Sukarelawan Siswa dan Foodunites," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Majlis Penutupan Pesta Gawai dan Kaamatan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Ming, di sini, hari ini.

Aaron berkata, KPN akan memperluaskan program 'Ini Warisan Kita' ke seluruh negara termasuk pelaksanaannya di peringkat sekolah.

"Ia bagi tujuan meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum mengenai khazanah warisan negara ini.

"Kementerian akan sentiasa memberikan sokongan kepada program bercirikan kebudayaan dan kemasyarakatan.

"Ini kerana ia berupaya mengeratkan silaturahim, menyatupadukan rakyat dan memperteguhkan hubungan masyarakat demi kesejahteraan serta keharmonian negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 11:58 PM