MUHAMMAD Sanusi, gambar fail. FOTO Bernama
MUHAMMAD Sanusi, gambar fail. FOTO Bernama
Noorazura Abdul Rahman


Kulim: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjangkakan kerajaan Perpaduan tidak akan bertahan lama sekiranya enam negeri ditawan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Menteri Besar Kedah itu berkata, ini kerana gelombang kebangkitan rakyat kini dilihat berpihak kepada PN.

"Terima kasih kepada pengundi luar, anak rantau yang balik daripada jauh, ini yang menitiskan air mata kita. Dari TikTok kita lihat mereka balik dari serata dunia antaranya Korea, Jerman, Mesir dan Jordan.

"Kalau inilah gelombang melanda kita, saya yakin Bang Non (merujuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) ini tak bertahan lama. Kita harap sekali dengan kita tubuhkan kerajaan di enam negeri ini, kita juga akan tubuhkan kerajaan baharu di Persekutuan.

"Itu tak mustahil kerana apabila enam negeri ini PN menang, ahli-ahli Parlimen yang bergayut di seluar Bang Non (Anwar) rasa tak selamat dan mereka akan lepas. Bang Non pi melorot macam tu saja.

"Pasal itu dia pulun, hari ini pun dia ada 'Grand Finale' di Kedah, biaq pi kat dialah, hangpa dengar saja, jangan percaya pasal dia buka mulut saja, bohong," katanya ketika berucap pada program Sembang Santai Bersama MB Kedah di Padang Awam Taman Tunku Putra, Kelang Lama di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada platform media sosial dan media-media bebas yang memberi laporan seimbang kepada PN.

Malah beliau turut menempelak kerajaan kerana bercakap mengenai kebebasan media, tetapi tidak mengamalkannya.

"Dia kata nak amalkan media bebas tetapi RTM tak boleh buat liputan kerajaan Kedah. Mana ada gambar saya masuk RTM? Ada pun yang negatif saja, nak tuduh saya jahat atau apa-apa, masuklah RTM.

"Lain tak masuk... Mujurlah ada media lain serta aplikasi media sosial yang lain seperti Facebook dan TikTok. Satu-satunya jenis negara yang sedaya-upaya sekat apa saja maklumat daripada sampai kepada rakyat adalah negara komunis dan modelnya masih ada di Korea Utara," katanya.

Muhammad Sanusi dalam pada itu mendakwa pembangunan Kedah terhenti kerana ada manusia yang sakit hati dalam kerajaan Persekutuan.

"Dalam isu Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), hang tak bagi kami bawa penumpang, kami buat kargo. Tetapi kargo pun tak boleh (tak dibenarkan), hang nak apa sebenarnya?

"Sebenarnya hang dengki saja, tak mahu orang lain maju dan hati tak elok. Bang Non ni pula oleh kerana partinya ada 30 kerusi dan DAP ada 40, dia bergayut pada DAP untuk kekalkan kuasa sebagai Perdana Menteri.

"Mahu atau tak, dia kena ikut DAP. Pasal itu saya kata PKR muka tak malu, jadi kerajaan bergayut kepada DAP saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 10:50 PM