Novak Djokovic meraikan kejayaan menempah slot final Wimbledon.-Reuters
Novak Djokovic meraikan kejayaan menempah slot final Wimbledon.-Reuters
Reuters

London: Perlawanan akhir perseorangan lelaki Wimbledon membabitkan juara bertahan Carlos Alcaraz dan pilihan kedua Novak Djokovic akan berlangsung di All England Club yang juga menjadi venue kepada aksi akhir beregu campuran.

Juara Grand Slam tiga kali, Alcaraz tiba di Wimbledon sebagai pilihan utama selepas kemenangan di Terbuka Perancis bulan lalu, tetapi tidak ramai yang menjangka Djokovic akan pergi jauh selepas prestasinya di Roland Garros terjejas berikutan kecederaan lutut.

Namun, pemain berusia 37 tahun itu, yang menjalani pembedahan lima minggu lalu berusaha untuk meraih Grand Slam ke-25 sekali gus memadam rekod sepanjang zaman yang dikongsi dengan Margaret Court.

Djokovic kembali ke prestasi terbaiknya dan ini membuatkan peminat di All England Club dan seluruh dunia teruja dengan kemungkinan perlawanan menarik seperti yang mereka saksikan 12 bulan lalu, apabila Alcaraz menang dalam lima set.

"Saya tidak pasti sehingga tiga-empat hari sebelum kejohanan sama ada saya akan mengambil bahagian. Saya melakukan latihan tambahan untuk pulih secepat mungkin hanya kerana ia adalah Wimbledon.

"Saya sangat gembira untuk beraksi di perlawanan akhir kerana saya tidak memikirkan aksi itu, terutamanya dalam beberapa perlawanan pertama.

"Saya memikirkan mengenai mahu pulih daripada segi pergerakkan supaya tidak cedera," kata Djokovic.

Kekalahan tahun lalu kepada Alcaraz menamatkan usaha Djokovic untuk memenangi gelaran kelima berturut-turut yang akan menyamakan rekod Roger Federer dengan lapan trofi Wimbledon dan pemain Serbia itu akan beraksi di pentas final untuk membalas dendam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 1:41 AM