Gobind Singh Deo. FOTO BERNAMA
Gobind Singh Deo. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Digital Gobind Singh Deo mencadangkan undang-undang baharu bagi meletakkan tanggungjawab kepada pemilik platform media sosial atas penyalahgunaan termasuk kes membabitkan buli siber.

Menurut Gobind ketika mesyuarat Kabinet semalam, beliau bersama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said membangkitkan isu buli siber terutama kes kematian pempengaruh TikTok, A. Rajeswari atau dikenali sebagai Esha baru-baru ini.

"Saya juga mencadangkan undang-undang baharu dipertimbangkan untuk meletakkan tanggungjawab terhadap tuan punya platform untuk memastikan bahawa tiada penyalahgunaan berlaku dan sekiranya ada, tindakan segera boleh diambil untuk menghalang keadaan sedemikian berterusan.

"Kita perlu menghantar signal jelas bahawa kita serius dalam hal mencari jalan penyelesaian untuk masalah ini dan semua pihak yang berkaitan mempunyai peranan penting yang perlu dilaksanakan bagi tujuan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata undang-undang sedia ada khususnya Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan serta Akta Jenayah Komputer sememangnya wujud dan boleh dikuatkuasakan.

"Kami perlu pastikan platform yang didirikan adalah selamat dari sudut keselamatan siber, perlindungan data peribadi, dan yang penting sekali ia tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.

"Kes-kes buli siber mesti dipandang serius dan ditangani dengan segera. Kita harus memastikan bahawa undang-undang digubal untuk mengelak daripada berlakunya sebarang penyalahgunaannya dan sekiranya berlaku, tindakan pantas harus diambil," katanya.

Sehubungan itu, Gobind berkata kementeriannya menyokong usaha Menteri Komunikasi untuk memperkukuh perundangan yang sedia ada atau memperkenalkan undang-undang baharu pada masa hadapan.

Semalam, Fahmi pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap kes membabitkan buli siber.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata Perdana Menteri menzahirkan rasa kecewa dalam kes buli siber yang membawa kepada kematian seorang pempengaruh TikTok baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 12:57 AM