FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Akaun TikTok rasmi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini boleh diakses semula, selepas didakwa disekat pada Sabtu lalu.

Tinjauan BH hari ini, mendapati akaun @sanusimdnor kembali aktif dan boleh diakses oleh semua pengguna.

Sebelum ini, Sanusi menerusi hantaran di Facebooknya mendakwa akaun TikTok rasmi Menteri Besar Kedah disekat.

Beliau turut mendakwa akaun TikTok miliknya hanya tidak boleh diakses di dalam negara ini dan masih lagi boleh diakses di luar negara.

Menerusi akaun Tiktok sokongannya @sanusimdnor47, Sanusi berkata, "Kalau dulu puak cabut wayar, time (waktu) kita ceramah, la ni depa buat cara lain pulak."

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang arahan untuk menyekat akaun TikTok rasmi Muhammad Sanusi.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana akaun TikTok.

Beliau menjelaskan, aplikasi sosial TikTok berkenaan adalah bukan milik kerajaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menafikan pihaknya menghalang akses atau memadam kandungan akaun TikTok milik Menteri Besar Kedah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 3:26 PM