Lamine Yamal dari Sepanyol akan menyambut ulang tahun ke-17 hari ini.
Lamine Yamal dari Sepanyol akan menyambut ulang tahun ke-17 hari ini.
Reuters

Berlin: Pemain paling sensasi Euro 2024 Lamine Yamal dari Sepanyol akan menyambut ulang tahun ke-17 hari ini namun terpaksa ditangguh dulu demi persiapan untuk mengharungi perlawanan akhir kejohanan Eropah menentang England awal pagi Isnin.

"Saya memberitahu ibu saya bahawa jika kami menang, saya tidak mahu apa-apa hadiah, saya hanya mahu meraikannya di Madrid bersama rakan.

"Itu akan menjadi satu perkara menggembirakan apabila meraikan bersama orang ramai di jalanan sepanjang perjalanan dari lapangan terbang. Semua orang akan menjadi gila! Kami akan tiba dengan aura yang luar biasa," kata Lamine, sebagaimana dia lebih suka dipanggil, dalam wawancara dengan media Sepanyol, Marca.

Yamal memecahkan rekod sejak membuat debut profesionalnya untuk Barcelona kurang daripada 15 bulan yang lalu dengan menjadi penjaring gol termuda dalam sejarah Euro dengan sepakan lencong jarak jauh yang menakjubkan menentang Perancis sekali gus membantu pasukannya mara ke perlawanan akhir.

Menjadi pemain termuda yang bermain, memulakan dan menjaringkan gol untuk kelab dan negaranya adalah rekod lain yang dia pecahkan.

Menentang England di Olympiastadion Berlin, dia mungkin berpeluang mencapai tahap yang lebih tinggi jika membantu pasukannya memenangi gelaran Kejohanan Eropah keempat sekali gus bakal menempa sejarah baharu.

Ia akan mengukuhkan profilnya sebagai pemain muda yang cukup produktif di Eropah dan pastinya meletakkannya dalam kedudukan untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.

Tumpuan terhadap Yamal semakin meningkat, dengan bapanya menjadi tajuk utama minggu lalu dengan menerbitkan di media sosial foto Disember 2007 anak lelakinya di pelukan bekas penyerang Barcelona, Lionel Messi.

Messi, berusia 20 tahun ketika itu dan memulakan kerjaya yang akan membawanya memenangi Ballon D'Or lapan kali, bergaya untuk kalender amal, dan kebetulan sedang menggendong seorang bayi yang 17 tahun kemudian melakukan kejutan di Kejohanan Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 10:44 PM