Putera William
Putera William

AFP

London: Putera William meminta barisan pemain England tunjukkan kepada lawan apa yang mereka mampu lakukan ketika berdepan Sepanyol dalam final Euro 2024 awal pagi Isnin ini.

William yang juga presiden Persatuan Bola Sepak England, akan berada di final di Berlin ketika England berusaha untuk memenangi trofi utama pertama mereka sejak Piala Dunia 1966.

Putera terbabit yang meminati pasukan Aston Villa hadir di peringkat suku akhir Euro 2024 ketika England menentang Switzerland dan perlawanan peringkat kumpulan bertemu Denmark.

Dalam satu pos di media sosial beliau memberitahu bahawa berbangga dengan pasukan England apabila berjaya menempah slot ke final Euro 2024.

"Kami sangat bangga dengan anda semua England, hanya satu usaha terakhir untuk menamatkan tugas.

"Pergilah ke sana dan tunjukkan kepada dunia apa yang anda mampu lakukan. Kami percaya pada anda," katanya.

Bapa William, Raja Charles III, mengambil kesempatan di media sosial awal minggu ini untuk bergurau bahawa England harus mengelakkan drama saat akhir lagi apabila mereka bermain di final.

Dalam mesej kepada pasukan Gareth Southgate selepas gol lewat Ollie Watkins memastikan kemenangan 2-1 menentang Belanda dalam separuh akhir, Charles mengirimkan "ucapan terbaik" dan "tahniah hangat" kepada para pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 1:16 AM