ROMEL Morales menjaringkan gol pertama Harimau Selatan. FOTO MOHD ADAM ARININ
ROMEL Morales menjaringkan gol pertama Harimau Selatan. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah memberikan saingan sengit bagi menghalang kemaraan Johor Darul Ta'zim (JDT) walaupun terpaksa tunduk 1-3 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, sebentar tadi.

Tuan rumah yang ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama berjaya merapatkan jurang hasil sepakan penalti yang disempurnakan penyerangnya, Gabriel Peres pada minit ke-51.

Sepakan itu diberikan pengadil selepas kapten Sabah FC, Park Taesu ditarik pemain JDT, Matthew Thomas Davies ketika situasi kucar-kacir di kotak penalti pasukan pelawat.

Namun, jaringan tunggal Sabah itu yang mencetus semangat Sang Badak untuk bermain lebih agresif dapat dilebarkan pasukan pelawat pada minit akhir perlawanan apabila JDT mendapat peluang baik juga melalui sepakan penalti.

Gol ketiga pasukan pelawat itu disempurnakan Bergson Gustavo Da Silva, menjadikan keputusan 3-1 hingga wisel penamat dibunyikan.

Sebelum itu, pada babak pertama, Sabah awal-awal lagi berpeluang melakukan cubaan mendapatkan gol melalui sepakan percuma Muhammad Jafri Firdaus Chew pada minit kedua, namun melepasi gawang.

Ia kemudian disusuli sepakan sudut pertama Sabah yang dilakukan Stuart John Wilkin pada minit ketiga, namun peluang kedua itu juga tersasar.

Selepas dua situasi berbahaya itu, JDT mula menyusun jentera serangannya untuk menguasai permainan dan melakukan serangan balas hingga memaksa Sabah lebih banyak bertahan.

Skuad Harimau Selatan akhirnya berjaya memecah tembok pertahanan tuan rumah selepas penyerangnya, Romel Oswaldo Morales berjaya memanfaatkan peluang pada minit ke-20.

Morales yang menerima hantaran melalui sepakan sudut Arif Aiman Mohd Hanapi hanya melakukan sedikit tolakan ke arah gawang Sabah ketika penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sudah keluar awal.

Pemain berjersi 19 itu kemudian mencipta satu lagi jaringan pada minit ke-43 ketika berdepan satu lawan satu dengan Khairul Fahmi, menjadikan kedudukan 2-0 pada babak pertama.

Pada babak kedua, selepas jaringan hasil sepakan penalti Sabah pada minit ke-51, JDT gagal menambah jaringan menjadikan kedudukan 2-1 hingga 90 minit perlawanan.

Namun, sepakan penalti yang diperolehi JDT pada minit kecederaan akhirnya mengubah kedudukan itu, sekali gus memaksa Sabah berpuas hati dengan keputusan 3-1 di hadapan kira-kira 11,000 penyokong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 10:39 PM